Wednesday, October 28, 2009

Di mana Syabab?

Syabab...Syabab

Kesian sungguh Ummu pada cerita adik kecil yang bernama Syabab itu.Dalam simpati, timbul juga rasa kagum.Perihal manusia yang berhijrah dari dunia penuh jahil dan kosong, kepada sebuah kehidupan yang bersendi syariat, dalam tempoh waktu yang tidak panjang, tentunya mengundang rasa ingin berfikir yang mendalam.

Sebuah lagi karya fatimah Syarha berjudul " Syabab Musafir Kasih " berjaya ummu khatamkan.Berlatarbelakangkan suasana kehidupan kampung memang amat secocok dengan jiwa ummu.Ummu gemar belajar dari orang kampung.Biarpun mereka mungkin ketinggalan di sudut maklumat moden, namun istimewanya mereka adalah pada mahalnya sebuah pengalaman dan nilai-nilai spiritual yang berkembang seiring usia mereka.Mereka banyak berdikari.

Gambaran bumi Syam menghiasi jalan cerita.Syabab yang bermula dengan budak kampung yang pengotor,bodoh dan buruk perangai akhirnya berjaya juga menjadi tetamu Syam.Pulangnya bersama ilmu agama penuh di dada.Berbekalkan semangat jiwa pemuda Syabab berjaya berda'wah kepada muda-mudi kampungnya yang liar,menjinakkan mereka kepada masjid dan kuliah-kuliah agama.Revolusinya tercapai.

Cerita Syeikh setaraf wali diserang polis tatkala memberi santapan rohani kepada pengunjung masjid, dan pantas dibela oleh Syabab betul-betul memberi kesan.Ummu mengharapkan lebih ramai pemuda kita memiliki semangat juang sepertinya.Tentunya ia adalah tempias pada kesolehan dan sinar taqwa yang memagari diri.

Cerita tetap tinggal cerita.Perlu pada suatu ketika cerita berubah kepada realiti.

Syabab..Syabab.Di mana Syabab?

Monday, October 26, 2009

Monolog

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani

Kini aku bungkam.Himpitan suara-suara nahyu mungkar bergema dan bergetar di celah-celah tulang osikel telingaku.Getaran sekadar mengekalkan tenaga kinetiknya, namun masih tidak mampu menterjemah impuls yang dihantar ke otakku.Kedua - dua belah tangan dan kakiku gagal memberi respon.

Tundukku sayu.Pedih...ngilu...semua perasaan berkecamuk menyerang tenangnya batin.Masakan tidak, ilmu yang Dia anugerahkan, tidak ku amalkan.Maksiat yang ditayang di depan mata, dibiarkan aksinya.

” Apabila kamu melihat kemungkaran, maka cegahlah ia dengan tanganmu, jika tidak berupaya, maka cegahlah dengan lisanmu, jika tidak berupaya maka cegahlah dengan hatimu dan itulah serendah-rendah iman ".....

Sabdaan junjungan yang ku pelajari bersama sahabat sehalaqah dalam usrah lewat usiaku di bangku kampus, terngiang-ngiang di cuping telinga.Owh....apa sudah jadi pada diriku? adakah aku futhur ? Nauzubillah

Imanku seolah-olah goyah menanti rebah.Persekitaran yang wujud kini menuntut pada cekalnya sebuah hati yang menaruh cinta yang tinggi pada Tuhannya.Kalau tidak kerana cinta sudah lama kaki ini rebah menyembah bumi.

Allah matlamatku.Jihad jalan kehidupanku.Islam adalah cita-citaku.Al-Quran pedomanku.Motto ini cuba ku dakap erat agar ia terus memandu arah cara ku berfikir.Globalinisasi dunia kini bukan hanya pada maklumat, namun pada arus kepelbagaian pemikiran.Silap langkah, kita bisa hanyut...

Apa jua mehnah yang Allah hamparkan, ku terjemahkan ia dalam bentuk kasih sayang.Tidak mahu ku kotorkan qalbun yang telah Dia ciptakan asalnya putih bersih dengan perasaan buruk sangka.Semakin kuat taufan, tandanya Dia semakin menyanyangi, dan memang itu yang disabdakan Nabi.Hasilnya jiwaku kini bahagia.

Duhai Tuhan...bantulah Kami, hambaMu.

Thursday, October 08, 2009

Thursday, October 01, 2009

Luruskan saf, Rapatkan saf

" kalaulah manusia tahu kelebihan yang ada pada azan dan solat pada saf pertama, kemudian mereka tidak dapat melakukannya melainkan dengan undian, pasti mereka akan melakukan undian itu " { HR Bukhari & Muslim }

Dalam kehidupan kita sehingga kini, pernahkah suara yang dianugerah Allah ini kita gunakan untuk melafazkan bait kalimah azan yang mulia?
Terkenangkan soalan di atas, terngiang kembali suara azan yang sering dilaungkan oleh budak-budak kampung di madrasah sebelah rumah Ummu.Syukur, lidah mereka telah menjadi pilihan Allah untuk menjadi saksi di hari kemudian sewaktu usia masih di rebung.Moga berkekalan hendaknya.

Tidak mengapa jika melihat mereka saling berebut mahu memegang mikrofon untuk melaungkan azan, bukannya bersesak-sesak untuk menyanyi lagu-lagu yang tiada nilainya di sisi Allah.Jinak-jinakkan mereka di umur muda, yang penting bukan pada lunaknya suara, tetapi pada hati yang ikhlas mengajak ummah bersama-sama menunaikan solat berjemaah.Ibarat Bilal, yang menurut riwayatnya suaranya tidaklah semerdu mana, namun lantaran kemurnian sekeping hati yang ikhlas mengajak manusia menuju Tuhan, seruannya telah berjaya menarik berbondong-bondong kumpulan manusia untuk bersolat.

Realiti kini, bila tiba di masjid seakan-akan kita tidak begitu bersegera untuk merebut saf pertama.Bahkan jika tiba-tiba ada kekosongan pada saf pertama, ringan sahaja tangan kita mempelawa orang sebelah untuk naik memenuh saf depan.Kalaulah yang ditimbun pada saf yang pertama itu emas dan harta qarun yang jelas kelihatan pada mata kasar, tentunya dari awal lagi kita ke depan, tidak mempedulikan lagi orang sebelah.Namun sebaliknya berlaku.

Bila menghampar sejadah, saiznya subhanallah..besar.Seolah-olah ingin memberitahu ini sempadan kawasanku, tidak dibenarkan melintasinya apatah mahu merapatkan bahu ke bahu.Lantas bagaimana mahu kita lihat keberkatan pada solat berjemaah? Justeru ummat kita masih tinggal lemah,senang digoyah musuh, hanya kerana punca yang kelihatan kecil cuma namun impaknya menyeluruh.Moga -moga kita semua boleh sama-sama memperbaikinya,insya Allah.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Abang ipar Ummu sudah seminggu berada di Hospital Pakar Perdana ' for perforated Acute Appendicitis .Beliau terpaksa menjalani dua kali pembedahan kerana komplikasi appendixnya yang telah pecah dan bernanah di sekitar usus menyebabkan sebahagian ususnya terpaksa dibuang.Tolong sama-sama doakan beliau agar segera sembuh dan berjaya digolongkan di kalangan orang-orang yang ditinggikan darjatnya berkat kesabaran beliau.