Wednesday, August 31, 2011

Di Hening 1 Syawal itu...


Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahu Akbar

Maha Besar Allah yang telah menghidupkan roh untuk merasai kemanisan kemenangan sebuah perjuangan.Segala pujian selayaknya hanya untuk Pencipta yang Maha Agung.

Semakin besar mujahadah seorang hamba di bulan Ramadhan yang lalu, semakin tinggi erti kemenangan buatnya.Keperitan bukan untuk dideritai, sebaliknya untuk dinikmati keindahannya di hujung tatkala kejayaan menyusuli.

Salam E'idul Fitri untuk semua pengunjung budiman.Tentunya diri yang kerdil ini penuh tercalit dengan kelemahan dan kekurangan.Ummu memohon maaf atas segala khilaf.Semoga semangat memohon dan memberi maaf tidak terhenti di Syawal, bahkan terus mengalir hingga saat roh bertemu kepada Pencipta.

Bukan pertama kali pengalaman 'oncall' di pagi raya.Hati mana yang tidak pilu, saat mendengar takbir raya sayup-sayup dari masjid berhampiran hospital.Kita hiba, namun Allah mengajar kita untuk bersikap redha.Keluarga berjauhan, biskut raya tiada di depan mata,yang ada hanyalah katil dan pesakit..inilah sebuah perjuangan buat seorang hamba kerdil.Tidak baik mengeluh, amanah perlu ditunai sebaik mungkin.Hasilnya Allah kurniakan sekeping hati yang tenang.Moga Dia terus pelihara hati untuk bersikap qana'ah.

Hari pertama syawal, seperti pengalaman sebelumnya, kes kemalangan meningkat berganda.Awal pagi raya lagi, kecut perut ummu menaiki ambulans yang memecut laju menghantar seorang pesakit ke HUSM yang mengalami pendarahan otak akibat kemalangan.Mulut terkumat-kamit berzikrullah memohon doa pada Allah agar memudahkan dan menyelamatkan perjalanan kami.Masih muda adik lelaki yang kemalangan itu,'Extradural Hemorrhage' bukan masalah biasa-biasa, jika lewat rawatannya, pesakit boleh maut tidak sampai 48jam.Alhamdulillah..terima kasih kepada pemandu lain yang memberi laluan kepada kami, kami tiba di HUSM lebih kurang sejam kemudian.Dr Jason, pegawai perubatan yang 'oncall' di sana waktu itu,memberitahu pesakit akan terus dibawa ke dewan pembedahan.InsyaAllah 'prognosis' nya good.

Sekembali di HKK, dikejutkan pula dengan pesakit tiba-tiba mengalami komplikasi 'istestinal obstruction'.Hasil konsultasi dengan pakar, beliau terpaksa di bedah dengan segera.Dewan bedah hanya satu, berebut pula dengan 'cesearean section' untuk pesakit yang nak melahirkan anak, pembedahan kami terpaksa ditunda.

Malam muncul.Perut tidak sempat diisi lagi.Jamuan raya di jabatan kecemasan masih belum sempat dihadiri.Air masak diteguk untuk mengembalikan stamina dan kesegaran.Usai maghrib, panggilan dari 'casualty' kembali berdering.Satu lagi kes kemalangan melibatkan kereta Perdana yang terbabas melanggar pokok.Salah seorang lelaki melayu, 30an,tidak diketahui identitinya.Mycard nya tidak ditemui.Tiba dengan keadaan tidak sedarkan diri, lantas terus 'diintubate' dan bernafas melalui mesin.CT scan kepalanya menunjukkan beliau mengalami 'subdural hemorrhage with massive cerebral oedema'.Dr Jason dihubungi sekali lagi.Gambar scannya diemail segera.Namun Allah lebih menyayanginya.Dr Jason memberi laporan bahawa beliau sudah tidak mampu diselamatkan.

Secebis perkongsian cerita kehidupan seorang doktor.Walaupun sentiasa dihambat oleh situasi cemas, Allah sentiasa di sisi memberi kekuatan.Diri tiada daya melainkan dari Allah.Kepadanya kita semua berserah diri dan bertawakkal.Moga Dia terus melindungi dan memandu ke jalan yang lurus.

Bersama sempurnakan Ramadhan dengan puasa 6 hari di bulan syawal,insyaAllah.





---------------------------------------------------------------------------



Saturday, August 13, 2011

Saat yang berbaki

Ramadhan Kareem...

Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian untuk Al-Khaliq.Masih dikurniakan nafas dalam keredupan rimbunan taman-taman Ramadhan.

Hampir separuh perjalanan ia pergi.Perginya tidak akan kembali lagi.Saat yang tersisa adalah peluang yang tinggal untuk memanfaatkan semaksima mungkin.Biar sekadar mengalihkan duri di jalanan, atau sebuah hadiah senyuman ikhlas terbit dari hati yang cintakan Allah, bahkan mungkin kita hanya mampu menolong menuangkan air untuk orang yang berbuka..atau mungkin lebih kecil dari itu semua, ia tetap selamanya punya nilaian besar di sisi Allah s.w.t.

Orang berdosa membunuh 100 orang bisa Allah ampunkan.Seorang wanita dikurniakan syurga hanya memberi minum buat seekor anjing yang sedang kehausan.Tidakkah hati kita turut sama mengharapkan belas kasih-Nya agar dibersihkan segala kekotoran selama hidup kita di bumi pinjaman Allah ini.Alangkah indah menghadapNya dengan subuah 'qalbun salim'.Bersungguh-sungguhlah memohon ampun, gerbang masanya telah dibuka seluas-luasnya.Awal Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya keampunan, dan akhirnya kelepasan dari api neraka.

Bersedahlah.kalau bukan berupa harta, infakkan masa dan tenaga untuk perkara kebaikan.Bila dihulur bungkusan derma,ringankan tanganmu, berilah sekadar kecukupanmu.Tidak Allah lihat berapa not yang tertera, sebaliknya kejernihan sekeping hati yang memberi.





Al-Quran itu bait-baitnya indah.Qalam dari Tuhan, sebuah wasilah diaglog kita bersamaNya.Bila hati banyak mentadabbur, melihat huruf-hurufnya,memerhati pengajarannya nescaya kita akan dihubungkan sepanjang masa dengan negeri akhirat.Bahagianya jiwa pada hati yang tenang, tenangnya hati pada banyak mengingati Allah dan hari tujuan.Gandakan diaglogmu di bulan ramadhan.

Jangan sekadar puasa di perut.Kita masih punya 6 anggota lain yang perlu diperang nafsunya.Kita ada mata, telinga, mulut, faraj,tangan dan juga kaki.Berusahalah agar kesemua ni'mat Allah itu kita gunakan untuk yang ma'ruf.Binalah kubu pertahanan yang paling kukuh agar nafsu tidak bisa mungkin mencelah masuk ke kota kebaikan yang kita pelihara.Gunakan bom zikrullah, anak panah taubat, dan segala kelengkapan senjata yang ada bagi melemahkan musuh nafsu itu.Alangkah rugi, orang yang berpuasa hanya mendapat lapar dan dahaga,orang yang qiyam hanya mendapat berjaga malam.Kita berlindung pada Allah.

Pengalaman ke Qaryah Ramadhan.Terima kasih buat Tuan Guru kerana menyediakan biah rabbaniah di negeri Kelantan.Kepingin hati bertarawikh di Masjidil Haram, biar belum kesampaian, tempiasnya sudah sedikit terasa dengan berimamkan Imam di sana.Mudah-mudahan sampai jua hasrat hati ini suatu hari nanti..ameen.

Jazakillah khaira, buat Ummi usrah Ummu, Ustazah Fariza atas kata-kata pesanan yang sungguh menyentuh hati.Peringatan yang mengingatkan bahwa manusia ini tidak selamanya kekal di sini, bahawa dunia ini tidak adalah nilainya di sisi Allah walau sebesar sayap nyamuk.

Akhirnya duhai seluruh saudara-saudarku yang ku kasihi sekaliannya kerana Allah...berusahalah semampu mungkin bertamu di malam Lailatul Qadar.InsyaAllah.Salam silaturrahim.

-----------------------------------------------------------------------