Thursday, January 17, 2008

Bila hati ibu berbicara...

Sebak hatiku tiba-tiba..baru selesai membaca artikel ummi usrah di keranacinta.wordpress.com.
Sesungguhnya diri ini sangat bersyukur.Ana tidak tahu apa sahabt2 rasa..namun hakikatnya sebak itu suatu keindahan..ibarat diri ketika itu berada di taman yang tepiannya adalah air jernih yang mengalir tenang.Sebak itu wasilah ku untuk bersama Tuhanku..bila sebak nafsu seakan2 turut meraikan.ia bagaikan turut bersimpati lantas duduklah ia mendiamkan diri..tidaklah ia meracau2 mengganggu teguhnya sebuah iman.

Ibu...tanpa dirancang.Wajah sucinya menghiasi laman hati.Teringat padanya...sungguh,tidaklah ana ketemu cinta yang lebih hebat dari kasihnya seorang IBU.Bercucuran air mata ini,tak dapat ku tahan,deras ia mengalir.Kasihnya sungguh besar,pengorbanannya tak pernah berhenti.sejak ku kecil,hingga kedewasaan datang...kasihnya makin subur,dan hatiku makin tak dapat menahan keharuan.


Oh Tuhan,izinkanlah daku bersama ibu jua abah di raudhah syurga penuh kebahagiaan.Ampunkan mereka,tenangkan kehidupan mereka,dan putuskanlah segala yang terbaik untuk mereka.ameen...

Abah bersama cucunya yang kesebelas,Ummu Hani

Monday, January 14, 2008

Bunga Kebahagiaan

Berjalan di dunia...
Seharian berlalu...
Senja itu menjadi saksi...
Pada sebuah episod duka...
Hati ini rindu...
Rindu pada beningnya wajah hati yang ikhlas,
Rindu pada tunduknya nafsu dari yang selainNya
Rindu pada air mata yang deras mengalir
Kerana rindu
Pada cintaNya
Ku berjalan siang tadi,
Lantas mata sempat mengerling,
pada sebuah buku kuning,
cantik menawan mencuri hati
Ilham datang,
meminta agar ku membelinya,
dalam hati berdoa moga melimpah rahmahNya.
Judulnya....
BUNGA KEBAHAGIAAN.
" ......anugerah sekebun bunga dari taman iman; inilah kebahagiaan sebenar "
Karangan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Antara petikannya, Rasulullah s.a.w bersabda :
" Dirikanlah solat sunat di dalam rumah kamu dan jangan jadikan rumah kamu itu sebagai kubur "
{ HR Bukhari,Muslim,Nawawi }

Monday, January 07, 2008

Kalaulah Saidina Umar menyaksikan...






What could be ur respons towards this picture ?

The way u react will actually determine ur loves towards The Prophet.
Mereka bermati-matian mencari jalan menghina Rasul, namun kita berpeluk-pelukan tubuh diam tanpa sepatah kata...


Mereka memerah otak berfikir strategi terus menghalangi jalan da'wah,namun kita masih mengambil jalan memencil diri dan mengamalkan dasar berkecuali...


Sampai bila, aduhai penganut agama suci, sampai bila harus kita berterusan begini...
Mereka berani, tandanya kita penakut...


Nota buat diri.

Thursday, January 03, 2008

Reading in the traffic ?



Gambar di atas sempat ana tangkap sewaktu dingin bayu pagi mencucuk-cucuk urat saraf di depan bangunan Long Ding Hua Hotel,di tengah bandar Beijing awal November lepas.

Apa intepretasi yang boleh dirungkaikan?
Tentunya fokus ana tidak lari dari adik perempuan yang sedang memegang bahan bacaan sewaktu menunggu lampu di 'traffic light' bertukar ke hijau !

Sungguh ana berasa kagum,walau ia berlaku sekadar kerlipan jelingan yang tidak disengajakan.Pengalaman pertama melihat orang membaca di tengah2 kesibukan traffik tentunya mengundang rasa rendah diri.Betapa dia,yang mungkin belum Islam telah terlebih dahulu menyertai sahutan dan panggilan kebaikan yang diteriak2kan oleh Islam selama ini.Kini, ana berada di mana?

Kota Beijing penuh sarat dengan pelbagai 'picture' hidup yang mampu meng'hint'kan kita untuk sentiasa mengoreksi diri.Walau jurang kaya dan miskin masih menempel dalam gambar kehidupan masyarakat mereka, namun rata2nya begitu bersungguh berikhtiar memajukan diri.Dan tidak hairanlah kiranya kita suatu hari nanti terserempak dengan pembawa beca yang umurnya masih di lingkungan belasan tahun !
kalau di Malaysia,jika ini yg berlaku,tentunya pemuda itu akan diejek,atau paling tidak ia akan menjadi buah mulut yang tidak berkesudahan hinggalah mentaliti masyarakat kita berjaya diubah.

Teringat kata2 ulama' Abduh,yang mengaitkan bahawa di suatu tempat mungkin kita lihat Islam tapi kita tidak jumpa walau satu pun Muslim,dan mungkin juga kita jumpa ramai yang Muslim,namun tidak ada Islam....Renung2kanlah.

Tirai 2008

“Apa erti saya menganut Islam?”, tidakkah soalan itu soalan yang tidak patut ditanya?
Tidak masuk akal untuk seseorang itu menjadi Muslim tetapi belum pernah memikirkan erti keIslamannya. Memilih sesuatu tanpa mengetahui apa yang dipilih?
Tidak… bukan begitu soalannya. Selama ini tidak pernah pun membuat pilihan, melainkan segalanya diterima secara kebetulan. Islam warisan. Islam yang turun dari emak ke anak, sebagaimana turunnya warna mata dan kerinting rambut.


Tanpa pernah memilih Islam, seorang Muslim mungkin menjadi musuh kepada keIslamannya sendiri. Menjadi perosak kepada agama yang dimeterakan ke pengenalan dirinya. Dia bukan sahaja gagal menikmati Islam yang dianutinya, malah dia mungkin sampai menganggap racun keIslamannya lantas meracuni orang lain dengan perbuatan-perbuatannya yang menyesatkan persepsi orang lain tentang erti Islam yang sebenar.


Sulitnya lagi, menjawab persoalan “apa erti saya menganut Islam” bukan pada perkataan dan penjelasan lisan, tetapi melalui perbuatan.

Perbuatan kepada Tuhan
Perbuatan kepada sesama insan
Perbuatan kepada alam
Perbuatan kepada pekerjaan dan aktiviti seharian

Kesemua jawapan tentang “apa erti saya menganut Islam”, jawapannya diungkap pada perbuatan. Apa erti saya menganut Islam adalah persoalan yang mengkritik perbuatan berdasarkan kepercayaan. Apa yang kamu percaya, dan apakah kesan kepercayaan kamu kepada perbuatan seharianmu.


PENYERAHAN DAN KETUNDUKAN
Islam itu penyerahan…
Islam itu ketundukan…
Islam itu kesejahteraan…
Islam itu adalah penyerahan dan ketundukan yang menghasilkan kesejahteraan.

Soalnya, kepada apakah seorang Muslim itu berserah dan tunduk akur? Kesejahteraan apakah yang dicarinya dalam kehidupan ini.
Secara cliché, seorang Muslim berkata, “sebagai Muslim, saya berserah dan tunduk kepada Allah dan dengan perbuatan itu berhasillah saya mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan di Akhirat”.
Sedap jawapannya, menepati skema ukuran kertas jawapan. Tetapi terjawabkah persoalan kehidupannya dengan jawapan sebegitu di atas kertas jawapan? Jika begitu tepat seorang Muslim mendefiniskan keIslamannya sebagai tunduk dan berserah kepada Tuhan, mengapakah kesejahteraan hilang dari dunia Muslim zaman berzaman? Mengapakah segala yang sakit dan tenat itu kita temui dalam catatan kehidupan Muslim yang kebelakangan?


“Saya hairan apabila ustaz begitu yakin menyebut bahawa masa depan adalah milik Islam. Kenapa saya tidak memiliki keyakinan yang sama?”, tanya seorang peserta PUISI 2007.
Ya, hingga begitu sekali seorang Muslim menimbulkan pertanyaan. Saya tidak menyalahkan penyoal dan soalan kerana ia adalah pertanyaan yang tulen. Pertanyaan yang memberikan kesimpulan bahawa empat hari berkampung di Bukit Melleray, Co. Waterford bukan jawapan penuh kepada menjawab persoalan APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM… bahawa dua muka surat tulisan Fathi Yakan tentang “meyakini bahawa masa depan adalah milik Islam” adalah jauh dari upaya menjustifikasi ucapan-ucapan kita agar bukan sekadar slogan dan retorik angan-angan.


HAKIKAT PENYERAHAN DAN KETUNDUKAN
Allah SWT tidak akan menjelma lantas manusia yang sujud di ‘kaki’-Nya boleh mendakwa saya telah tunduk dan berserah kepada Tuhan. Maka bagaimanakah seorang manusia itu dengan mudah boleh berkata, saya telah tunduk kepada Dia?
Ya… maka manusia mesti lebih kritis dalam menjawab dan meyakini jawapannya.
Mari kita pinjam semula kisah Pak Haji dan Ah Chong…
Pak Haji mengerjakan haji. Sebelum itu juga beliau telah selesai sempurna solatnya, puasanya dan zakatnya. Soalan “apa erti saya menganut Islam”, telah Pak Haji jawab dengan mematuhi rukun-rukun dan syarat Islam.
Pak Haji menanam jagung.
Turun ke kebun jam 10 pagi, selepas selesai solat sunat Dhuha. Benih dipilih, dibenam ke bumi, air disiram, Pak Haji balik ke rumah dan bersolat lagi.
Di seberang sana ada seorang lagi pekebun jagung bernama Ah Chong. Jangankan haji, halal haram dan solat pun dia tidak mengerti. Tidak pernah dipeduli. Soalan “apa erti saya menganut Islam” bukan soalan hidupnya, kerana hidupnya hanya pada makan, minum, tidur, kerja, rehat, kahwin.

Ah Chong menanam jagung.
Turun ke kebun jam 7 pagi. Masih ‘kufur’ seperti sebelum tidurnya malam tadi. Dengan dada yang kosong dari sebarang agama, Ah Chong memilih benih terbaik. Ditanam semolek mungkin ke dalam tanah yang dibentuk batas. Dibuat saluran air, agar lebihan siram tidak bertakung merosakkan benih. Batas dilindung dengan rumput kering selepas baja ditabur mengikut sukatannya. Pagar kebun diperiksa, agar jangan kambing yang hidupnya juga makan, minum, kerja, rehat dan ‘kahwin’ merempuh masuk memakan anak pokok jagung si Ah Chong. Tepat jam 12 tengah hari, Ah Chong bersandar di pondok usang, berehat dan makan menanti petang.
Setiap hari Pak Haji dan Ah Chong mengulang perbuatan yang sama hingga genap 50 hari untuk menuai.
Jawablah soalan “apa erti saya menanam jagung?” melalui hasil tuaian masing-masing. Siapakah yang lebih mendapat makna dari persoalan itu?
Dengan yakin, kita boleh menjawab bahawa kebun jagung Ah Chonglah yang makmur dan sejahtera.
Soalnya siapakah yang menumbuhkan jagung?
Allah…
Soalnya siapakah antara mereka berdua yang menyembah Allah?
Pak Haji…
Mengapa Allah tumbuhkan pokok jagung Ah Chong dan bukannya pokok jagung Pak Haji?
Mengapakah sebagai seorang pekebun jagung, Ah Chong yang beroleh sejahtera dengan hasil tanaman yang lumayan? Sedangkan Pak Haji terus papa dan resah dengan keperluan hidup yang tidak pernah cukup?

MUSLIM DI LADANG JAGUNG
Jika Muslim itu bermaksud tunduk dan berserah kepada Allah, siapakah yang Muslim di medan menanam jagung ini? Pak Haji atau Ah Chong?
Mungkin soalannya seperti suatu permainan, tetapi saya ingatkan kembali kenyataan Muhammad Abduh sekembalinya dia dari pembuangan di Barat. Kata Muhammad Abduh:
“Saya pergi ke Paris, lantas saya bertemu dengan Islam tanpa Muslim. Saya kembali ke Kaherah dan saya bertemu dengan Muslim tanpa Islam!”

Apakah ketentuan Allah SWT terhadap pokok jagung? Apakah sistem Allah dalam bercucuk tanam? Bagaimanakah ‘cara kerja’ Khaliq terhadap makhluq bernama jagung? Apakah Allah membuat suatu sistem bahawa untuk jagung tumbuh subur ia memerlukan kepada zikir yang ma’thur dari nas al-Quran dan al-Sunnah? Apakah kesuburan jagung ditentukan oleh Allah SWT pada besarnya serban atau pada singkatnya jubah? Bagaimanakah caranya manusia menyembah Allah dalam perbuatan menanam jagung?

Ketentuan Allah pada teknik menyuburkan tanaman jagung ialah pada kualiti benihnya, cara jagung ditanam, jenis baja, kaedah menjaga pokoknya… yang kesemuanya dihimpun dalam satu ilmu bernama sains pertanian.
Siapakah yang tunduk kepada Allah dalam sains pertanian?
Jawapannya… Ah Chong.
Ah Chong yang patuh kepada hukum alam, kepada hukum sains pertanian… kepada Sunnatullah (cara kerja Allah).
Meminjam kata-kata Muhammad Abduh, maka Ah Chong adalah ‘muslim’ tanpa Islam di ladang jagungnya.
Pak Haji itu pulalah yang kosong makna Islamnya kerana dia taat di atas sejadah, namun ‘kufur’ di medan kerja. Allah, Allah!!!

TAUBAT SAINTIFIK
Bagaimanakah pula jika Pak Haji mengubah salah tanggapnya itu tadi? Turun ke kebun seawal 7 pagi, bekerja secara optimum dengan teknologi terkini dalam penanaman jagungnya kali ini dan dalam masa yang sama, Pak Haji terus komited dengan solatnya, dengan puasanya, dengan zakatnya dan pada ketaatannya sebagai apa yang selama ini dinamakannya sebagai ‘kerja Islam’.
Pak Haji mendapat tuaian jagung 50kg, sebagaimana Ah Chong yang juga mendapat hasil yang sama. Apakah kini mereka telah sama?
Jawapannya YA dan jawapannya juga TIDAK.
Ya, mereka berdua saling mendapat kesejahteraan dalam ekonomi dan pertanian kerana beroleh hasil yang seimbang pada penilaian dan ukuran.

KESEJAHTERAAN HIDUP
Tetapi, pada keseluruhan gambaran kehidupan, Pak Haji dan Ah Chong tidak sama. Pak Haji memperolehi 50kg jagung, dan dengan hasil kerjanya itu hidup Pak Haji ada bahagia. Berasa cukup tetapi tidak menghalangnya dari terus berusaha. Ada bahagian yang boleh disedekah dan ahli keluarganya mendapat tenang dan sejahtera.
Rezeki Pak Haji ada kualiti bernama barakah. Sedikit yang banyak, banyak yang membanyakkan.
Ah Chong beroleh 50kg, tetapi jiwanya tidak pernah berasa cukup. Bukan sahaja beliau tertekan untuk berusaha malah mengintai peluang untuk mengambil bahagian di tangan orang lain. Hidupnya gundah gelana, makan cukup tetapi jiwa tidak tenteram. Selepas kenyang, dia kembali lapar. Selepas lena, matanya kembali terjaga. Banyak persoalan yang membelenggu kehidupan. Apa ertinya hidupku ini.
Ah Chong telah menyelesaikan persoalan hubungannya dengan alam melalui sains pertanian.
Ah Chong telah menyelesaikan persoalan hubungannya dengan sesama insan dengan nafkah minum makan yang dibekalkan.
Tetapi Ah Chong takutkan kematian kerana ia noktah akhir segala usahanya yang dikerjakan seharian. Ah Chong tidak pasti dengan jawapan, apakah erti hidupnya ini, sebelum dia bertemu jawapan apakah erti yang ingin dibawa menjelang mati.
Semuanya kerana Ah Chong tidak menyelesaikan persoalan hubungannya dengan Tuhan. Dunianya sempit kerana disempitkan oleh cara dia melihat kehidupan. Dia tidak beroleh kesejahteraan. Dia gagal memaknakan dunia kerana tidak bertemu jalan menuju Akhirat.
Ah Chong mungkin mengambil keputusan untuk menghancurkan kehidupan ketika berada di puncak pencapaian.


INILAH SIFIRNYA
Kesejahteraan adalah hasil ketundukan dan penyerahan. Kesejahteraan jiwa dan kehidupan beragama, kesejahteraan ekonomi, politik dan sistem sosial.
Ketundukan dan penyerahan kepada Tuhan melalui sistem Tuhan pada mengatur alam ciptaan-Nya ini.
Di sinilah peraturan Allah diterjemahkan sebagai sains dan hukum alam. Tunduk dan patuhnya seorang manusia kepada sains adalah sebahagian daripada maksud “apa erti saya menganut Islam”.
Ketundukan dan penyerahan manusia kepada cara dia berhubung dengan Dia… pada ibadah dan ritual amalan yang sejahtera. Ibadah yang majhul hingga terdidik melalui seorang perantara yang mengungkapkan wahyu di dalam ajaran bernama Syariah. Tunduk dan patuhnya seorang manusia kepada Syariatullah adalah sebahagian daripada maksud “apa erti saya menganut Islam”.

PERATURAN YANG MENYELURUH

Solat seperti kita melihat Nabi SAW bersolat
Memperelokkan sembelihan dengan menggunakan pisau yang tajam
Keluasan ilmu pada teknik menanam tamar, “kamu lebih tahu akan urusan duniamu”… kesemuanya diungkapkan pada perintah Syariatullah, dan keluasan ruang untuk penerokaan sains dan Sunnatullah…

APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM?
Iaitulah pada menghasilkan Muslim yang mematuhi sains yang menafsirkan sistem Allah dalam hubungannya dengan alam dan sesama insan.
iaitulah pada menghasilkan Muslim yang mematuhi syariat yang menafsirkan sistem Allah dalam hubungannya dengan Tuhan pencipta alam dan insan.

Muslim itu adalah manusia yang SAINTIFIK lagi SYARIATIK
Semoga 2008 subur dengan aktiviti menjawab soalan “APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM”

ABU SAIF @ www.saifulislam.com56000 Kuala Lumpur

Wednesday, December 26, 2007

Di manakah dia...Wahai Tuhan



Oh Tuhan...ku mendamba pemimpinku seorang yang zuhud pada dunia...





Ku idamkan seorang ketua yang berpegang teguh pada tali agamaMU....





Seorang raja yang hatinya adalah pada rakyat yang miskin,seperti RasulMu Muhammad yang senantiasa mendambakan kerinduan untuk bersama dengan golongan fakir dan yang dilanda kesusahan....Oh Tuhan, masih adakah lagi pemilik hati itu ????.......





Jua seorang pejuang yang matlamat akhirnya adalah penyerahan diri sepenuhnya kepadaMU, kerana itu kami diciptakanMu....




Oh Tuhan...kurniakan kami pemimpin yang wara'nya,jua tawaddhu'nya adalah hiasan jua pakaian dirinya setiap waktu..


Ya Allah...sesungguhnya Engkau menyaksikan rintihan hati ini,maka kabulkanlah Ya Rahman...Ya Rahim...Ya Wahhab....

Ameen.

# Gambar di atas adalah pemimpin negara Iran.

Monday, December 17, 2007

Gerunkah kita wahai manusia

Firman Allah dalam Surah Al-Hajj ,35 dalam memperihalkan ciri-ciri orang beriman yang maksudnya :

" Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah,gerun gementarlah hati mereka... "

Gerunkah hati kita bila cuping telinga ini menangkap bunyi kalimah Allah disebut ?
Gementarkah kita ?

Allahu akbar..segala kuasa hanya milikNya.
Kita boleh memilih untuk membiarkan peringatan Allah ini berlalu begitu sahaja.
Kita boleh memilih untuk terus menerus berani melakukan maksiat sembunyi2 apatah terang-terangan.
Namun.....ingatlah saudaraku.
Dia telah menghantarkan 'body guard' 24 jam untuk setiap kita.Bukan 'seorang',bahkan dua yang siap sedia dengan catitan mereka masing2.Kedua2nya melaksanakan amanah mereka dengan baik hinggakan tidak ditinggalkan walau sebesar zarah kebaikan mahupun kejahatan orang yang dikawalnya.Betapa mereka tunduk dan patuh pada perintah Allah.Tetapi kita..bagaimana?

Mengalir air mata ini.Terasa sungguh hiba kerana kerap kali diri mendengar kalimah mulia itu disebut,namun sejauh mana sangat hati ini hancur luluh setelah mendengarnya.Dia yang Maha Penyayang, Dia yang Maha pemberi,Dia Yang maha pengasih,Dia yang telah memberi segala2nya dalam hidup selama ini. Namun diri jarang menyebut2 kebaikanNya,kemurahanNya,keindahanNya,ketinggianNya...sebaliknya sibuk dengan urusan dunia,sibuk dengan perihal manusia lainnya,sibuk dengan segala yang tidak membawa jalan pada mengingatiNya..ampunkan kami Ya Allah.

Indah Fatamurgana
melalaikan menipu daya
Dikejar dicintai
Bak bayangan tak bertepi
Tiada sudahnya dunia yang dicari