Friday, November 04, 2011

Milikilah Aku KeranaNya



" Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara : Kerana hartanya dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkanmu."
(Riwayat Muslim)




"Ya Allah, izinkan dirikuku menjadi sekuntum bunga, yang dihiasi dengan kelopak akhlaq mulia, harum wanginya dengan ilmu agama, cantiknya kerana iman dan taqwa. Namun keindahan zahirnya disimpan rapi, biar menjadi rahsia yang kekal abadi, bukan perhatian mata ajnabi, yang menjadi punca fitnah hati dari lelaki yang berjiwa sepi. Wajahnya bukan mengundang dosa, timbulkan duri yang memagari dirinya agar terpelihara dari noda duniawi yang menghilangkan haruman sejati, yang memudarkan kecantikan diri untuk Kau calonkan diri itu sebagai bidadari syurga Mu. Ameen..."


Tidaklah ku harapkan lelaki yang hebat di pentas dunia, bukan juga yang namanya sering meniti di setiap bibir gadis-gadis kerana ketampanan dan kepimpinannya yang menyerlah tetapi, aku lebih memilih dia yang penuh dengan kerendahan hati, yang bangunnya di sepertiga malam menemui Sang Kekasih dengan hati yang sarat dengan kerinduan dan kecintaan kepadaNya. Hidupnya sentiasa dalam halaqah, yang ditarbiyah dan istiqamah dalam perjuangan dakwahnya. Biarlah dia tidak dikenali oleh sesiapapun asalkan namanya menjadi sebutan di langit Ilahi dan dirindui para bidadari syurga. Yang ku harapkan bukanlah putera berharta tapi yang diimpi biarlah putera agama. Bukanlah aku mengharapkan yang sempurna kerana aku juga serikandi dengan silam yang kelam...


Aku bukanlah seorang wanita yang memiliki harta bertimbun, bukan juga seorang yang mempunyai paras wajah yang anggun jelita bak bidadari, jauh sekali bersusur galurkan keturunan yang dihormati dan disegani. Apa yang ada pada diriku hanyalah agama yang menjadi pegangan dan panduan hidup untuk aku terus gah berdiri di muka bumi Allah ini. Maka milikilah hatiku dengan izin Allah, milikilah cintaku keranaNya, milikilah diriku kerana agamaNya dan milikilah jiwaku keranaNya.

----------------------------------------------------------------------

Friday, September 30, 2011

Pengembaraan

Rasulullah s.a.w bersabda :

" Hiduplah di dunia seakan-akan engkau adalah seorang pengembara atau orang yang sedang menumpang lalu " { HR Bukhari, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad }

Subhanallah...sungguh ajaib sebuah kehidupan.Gambaran, jalan cerita dan warna warninya terlalu pelbagai buat setiap insan.Lorong pengembaraan kekadang mengelirukan.Saat-saat akan tiba di mana suatu ketika kita buntu memilih.Mungkin ada yang tidak kisah, dirempuh sahaja mana-mana lorong di hadapannya,namun tidak bagi mereka yang percaya akan ada natijah baik dan buruk bagi setiap pemilihan.Memilih itu kadang-kadang meresahkan....

Allah s.w.t yang mewujudkan kita, mereka bentuk rupa kita, menganugerahkan roh untuk membolehkan kita mengembara di dunia asing ini.Dia telah bekalkan peta yang jelas, magnitud arah yang jitu bagi memastikan kita sampai dalam keadaan selamat ke destinasi akhir.Namun sayang tidak ramai yang berminat untuk melihat peta yang kekal dan tidak berubah-ubah itu,justeru ramai yang tersungkur dan sesat jalan, meraba-raba mencari jalan keluar.Al Quran adalah peta kehidupan yang paling agung,kekal tidak hilang ditelan zaman..maka,gunakanlah dan manfaatkanlah ia sepenuhnya.

Fitrah jiwa ini, terlalu lama dalam suasana penuh kesibukan, akan memerlukan bahkan amat membutuhkan saat yang hening, tenang dan mendamaikan.Solat yang khusyu', doa yang khudu', zikir yang penuh penghayatan adalah ibarat tiupan nyaman merawat qalbu.Tidak dapat dibayangkan andai tiada pensyariatan ibadah-ibadah tersebut, di mana mungkin hati ini akan terus hidup menghadapi suasana kekalutan sebuah kehidupan.Terima kasih wahai Tuhan..

" Ya Allah jadikanlah Al-Quran penghindar segala duka dan laraku "


--------------------------------------------------------------------------

Wednesday, August 31, 2011

Di Hening 1 Syawal itu...


Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahu Akbar

Maha Besar Allah yang telah menghidupkan roh untuk merasai kemanisan kemenangan sebuah perjuangan.Segala pujian selayaknya hanya untuk Pencipta yang Maha Agung.

Semakin besar mujahadah seorang hamba di bulan Ramadhan yang lalu, semakin tinggi erti kemenangan buatnya.Keperitan bukan untuk dideritai, sebaliknya untuk dinikmati keindahannya di hujung tatkala kejayaan menyusuli.

Salam E'idul Fitri untuk semua pengunjung budiman.Tentunya diri yang kerdil ini penuh tercalit dengan kelemahan dan kekurangan.Ummu memohon maaf atas segala khilaf.Semoga semangat memohon dan memberi maaf tidak terhenti di Syawal, bahkan terus mengalir hingga saat roh bertemu kepada Pencipta.

Bukan pertama kali pengalaman 'oncall' di pagi raya.Hati mana yang tidak pilu, saat mendengar takbir raya sayup-sayup dari masjid berhampiran hospital.Kita hiba, namun Allah mengajar kita untuk bersikap redha.Keluarga berjauhan, biskut raya tiada di depan mata,yang ada hanyalah katil dan pesakit..inilah sebuah perjuangan buat seorang hamba kerdil.Tidak baik mengeluh, amanah perlu ditunai sebaik mungkin.Hasilnya Allah kurniakan sekeping hati yang tenang.Moga Dia terus pelihara hati untuk bersikap qana'ah.

Hari pertama syawal, seperti pengalaman sebelumnya, kes kemalangan meningkat berganda.Awal pagi raya lagi, kecut perut ummu menaiki ambulans yang memecut laju menghantar seorang pesakit ke HUSM yang mengalami pendarahan otak akibat kemalangan.Mulut terkumat-kamit berzikrullah memohon doa pada Allah agar memudahkan dan menyelamatkan perjalanan kami.Masih muda adik lelaki yang kemalangan itu,'Extradural Hemorrhage' bukan masalah biasa-biasa, jika lewat rawatannya, pesakit boleh maut tidak sampai 48jam.Alhamdulillah..terima kasih kepada pemandu lain yang memberi laluan kepada kami, kami tiba di HUSM lebih kurang sejam kemudian.Dr Jason, pegawai perubatan yang 'oncall' di sana waktu itu,memberitahu pesakit akan terus dibawa ke dewan pembedahan.InsyaAllah 'prognosis' nya good.

Sekembali di HKK, dikejutkan pula dengan pesakit tiba-tiba mengalami komplikasi 'istestinal obstruction'.Hasil konsultasi dengan pakar, beliau terpaksa di bedah dengan segera.Dewan bedah hanya satu, berebut pula dengan 'cesearean section' untuk pesakit yang nak melahirkan anak, pembedahan kami terpaksa ditunda.

Malam muncul.Perut tidak sempat diisi lagi.Jamuan raya di jabatan kecemasan masih belum sempat dihadiri.Air masak diteguk untuk mengembalikan stamina dan kesegaran.Usai maghrib, panggilan dari 'casualty' kembali berdering.Satu lagi kes kemalangan melibatkan kereta Perdana yang terbabas melanggar pokok.Salah seorang lelaki melayu, 30an,tidak diketahui identitinya.Mycard nya tidak ditemui.Tiba dengan keadaan tidak sedarkan diri, lantas terus 'diintubate' dan bernafas melalui mesin.CT scan kepalanya menunjukkan beliau mengalami 'subdural hemorrhage with massive cerebral oedema'.Dr Jason dihubungi sekali lagi.Gambar scannya diemail segera.Namun Allah lebih menyayanginya.Dr Jason memberi laporan bahawa beliau sudah tidak mampu diselamatkan.

Secebis perkongsian cerita kehidupan seorang doktor.Walaupun sentiasa dihambat oleh situasi cemas, Allah sentiasa di sisi memberi kekuatan.Diri tiada daya melainkan dari Allah.Kepadanya kita semua berserah diri dan bertawakkal.Moga Dia terus melindungi dan memandu ke jalan yang lurus.

Bersama sempurnakan Ramadhan dengan puasa 6 hari di bulan syawal,insyaAllah.





---------------------------------------------------------------------------



Saturday, August 13, 2011

Saat yang berbaki

Ramadhan Kareem...

Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian untuk Al-Khaliq.Masih dikurniakan nafas dalam keredupan rimbunan taman-taman Ramadhan.

Hampir separuh perjalanan ia pergi.Perginya tidak akan kembali lagi.Saat yang tersisa adalah peluang yang tinggal untuk memanfaatkan semaksima mungkin.Biar sekadar mengalihkan duri di jalanan, atau sebuah hadiah senyuman ikhlas terbit dari hati yang cintakan Allah, bahkan mungkin kita hanya mampu menolong menuangkan air untuk orang yang berbuka..atau mungkin lebih kecil dari itu semua, ia tetap selamanya punya nilaian besar di sisi Allah s.w.t.

Orang berdosa membunuh 100 orang bisa Allah ampunkan.Seorang wanita dikurniakan syurga hanya memberi minum buat seekor anjing yang sedang kehausan.Tidakkah hati kita turut sama mengharapkan belas kasih-Nya agar dibersihkan segala kekotoran selama hidup kita di bumi pinjaman Allah ini.Alangkah indah menghadapNya dengan subuah 'qalbun salim'.Bersungguh-sungguhlah memohon ampun, gerbang masanya telah dibuka seluas-luasnya.Awal Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya keampunan, dan akhirnya kelepasan dari api neraka.

Bersedahlah.kalau bukan berupa harta, infakkan masa dan tenaga untuk perkara kebaikan.Bila dihulur bungkusan derma,ringankan tanganmu, berilah sekadar kecukupanmu.Tidak Allah lihat berapa not yang tertera, sebaliknya kejernihan sekeping hati yang memberi.





Al-Quran itu bait-baitnya indah.Qalam dari Tuhan, sebuah wasilah diaglog kita bersamaNya.Bila hati banyak mentadabbur, melihat huruf-hurufnya,memerhati pengajarannya nescaya kita akan dihubungkan sepanjang masa dengan negeri akhirat.Bahagianya jiwa pada hati yang tenang, tenangnya hati pada banyak mengingati Allah dan hari tujuan.Gandakan diaglogmu di bulan ramadhan.

Jangan sekadar puasa di perut.Kita masih punya 6 anggota lain yang perlu diperang nafsunya.Kita ada mata, telinga, mulut, faraj,tangan dan juga kaki.Berusahalah agar kesemua ni'mat Allah itu kita gunakan untuk yang ma'ruf.Binalah kubu pertahanan yang paling kukuh agar nafsu tidak bisa mungkin mencelah masuk ke kota kebaikan yang kita pelihara.Gunakan bom zikrullah, anak panah taubat, dan segala kelengkapan senjata yang ada bagi melemahkan musuh nafsu itu.Alangkah rugi, orang yang berpuasa hanya mendapat lapar dan dahaga,orang yang qiyam hanya mendapat berjaga malam.Kita berlindung pada Allah.

Pengalaman ke Qaryah Ramadhan.Terima kasih buat Tuan Guru kerana menyediakan biah rabbaniah di negeri Kelantan.Kepingin hati bertarawikh di Masjidil Haram, biar belum kesampaian, tempiasnya sudah sedikit terasa dengan berimamkan Imam di sana.Mudah-mudahan sampai jua hasrat hati ini suatu hari nanti..ameen.

Jazakillah khaira, buat Ummi usrah Ummu, Ustazah Fariza atas kata-kata pesanan yang sungguh menyentuh hati.Peringatan yang mengingatkan bahwa manusia ini tidak selamanya kekal di sini, bahawa dunia ini tidak adalah nilainya di sisi Allah walau sebesar sayap nyamuk.

Akhirnya duhai seluruh saudara-saudarku yang ku kasihi sekaliannya kerana Allah...berusahalah semampu mungkin bertamu di malam Lailatul Qadar.InsyaAllah.Salam silaturrahim.

-----------------------------------------------------------------------

Tuesday, July 26, 2011

Sampaikan...




Alam kanak-kanak....

Bangun sahur bersama ma dan abah.Waktu itu, mahu ditelan seketul daging pun susah..almaklum tidak biasa mengisi perut seawal jam 5 pagi.Pergi sekolah macam biasa..cuma bekal tidak dikelek bersama seperti selalunya.Yang specialnya, ma kata tengahhari dah boleh buka..:-)orang kata puasa separuh hari.Ummu tidak ingat berapa lama sempat berpuasa sekerat jalan macam tu sehinggalah alhamdulillah dapat puasa penuh macam orang besar !

Begitu bijak Ibuku mendidik, penuh dengan hikmah.Syukran laki ya ummi.


Alam remaja....

Tentunya puasa penuh adalah taklifan wajib.Waktu itu, sedikit sebanyak kefahaman bertambah tentang erti puasa, kalau dulu ikut-ikutan, kini adalah suatu pengabdian tulen yang bisa melahirkan kemanisan jika dihayati.Sungguh Ramadhan adalah saat terindah ! Kehadirannya ditangisi kerana gembira, dan pemergiannya jua ditangisi kerana kesedihan.Adakah mungkin untuk merasai lagi saat-saat indah sebegini.

Dan kini....

Hati cukup gementar, adakah masih berpeluang bertemu Ramadhan akan datang? Resah jua mengenangkan persediaan diri yang kurang.Hati yang bersinar, bersih dari dosa tentunya akan mera'ikan Ramadhan dengan penuh khusyu'.Apa yang diharapkan adalah rahmat Allah s.w.t yang diturunkan mencurah-curah di bulan ini bagi hamba yang terpilih.

Dosa bertimbun, 'amalnya sedikit..Rahmat Allah sahaja yang tinggal menjadi harapan.Ya Allah...ampunkan kami.

" Ya Allah, sampaikan kami dengan Ramadhan "


-------------------------------------------------------------------------

Monday, July 18, 2011

Kita akan kembali...




Seandainya kau tangisi kematianku
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu
Maka di atas tulangku yang hancur luluh
Nyalakanlah obor buat umat mulia ini
Dan teruskan perjalanan ke gerbang jaya

Kematianku adalah suatu perjalanan
Mendapatkan Kekasih yang sedang merinduku
Taman-taman di syurga bangga menerimaku
Burung-burung berkicau riang menyambut ku
Berbahagialah hidupku di alam abadi

Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Biarlah roh ku terbang mendapatkan rindunya
Janganlah gentar berkelana ke alam abadi
Nun di sana fajar sedang memancar

~ As Syaheed Syed Qutb ~


Al-Fatihah buat bonda Dr Lo'Lo'..moga tenang rohmu bersama para solehin.

Sunday, July 03, 2011

Who are you?




"I am a traveler seeking the truth,
a human searching for the meaning of humanity
and a citizen seeking dignity, freedom, stability and
welfare under the shade of Islam

I am a free man who is aware of the purpose of his existence and
who proclaims: “Truly, my prayer and my sacrifice, my living and my dying are all for Allah, the Lord of the worlds; no partner has He.

This, am I commanded and I am of those who submit to His Will.” This is who I am.

Who are you?"

(Hassan al-Banna)

-------------------------------------------------------------------