Saturday, November 07, 2009

Kasihlah pada semua makhluk...




Sekalung tahniah dan hamparan bunga kebahagiaan ummu doakan buat sahabat seperjuangan Nurul Hafizah atas anugerah Allah buat insan yang bergelar zaujah kerana langkahmu ke syurga telah dipermudah dengan terbinanya rasa redha meredhai antara kalian suami isteri.

Sejambak bunga mawar yang harum semerbak ummu hadiahkan buat sahabat tersayang, Siti Hafizah atas kurniaan umur buat jambatan menghubungkanmu dengan kehebatan cinta Rab, tuhanmu yang maha agung..selamat hari lahir,sahabtku.

Juga...pastinya ingin ummu hadiahkan kebun cinta tanda kasih sayang buat kesemua sahabat ummu yang tidak mampu untuk ummu sebutkan nama kalian semuanya.Cukuplah kalian mengetahui perasaan ini....ana uhibbukum fillah untuk selamanya.

Sungguh ummu doakan pertemuan singkat kita di dunia bakal dipanjangkan di hari yang baqa',di suatu taman yang indah di antara kebun-kebun syurga.

Usah putus asa sahabat seperjuangan dalam menegakkan Islam dalam dirimu, kenali dan 'arif apa sebenarnya Islam,insyaAllah kalian akan beroleh kekuatan.

Ada suatu yang menarik pada gambar di atas.Ingin ummu kongsikan.Memandangkan ummu ditaqdirkan 'tidak ber adik ', maka kebanyakan teman suka duka ummu waktu kecil adalah kucing-kucing peliharaan di rumah.Kucing dicipta Allah begitu jinak dengan manusia.Seolah-olah perasaan sayang dapat dialirkan kepadanya walaupun mereka adalah haiwan yang berlainan spesis dari manusia.Cubalah belai mereka, nescaya akan dibalas usapan kasih kalian dengan huluran kepala dan 'suara-suara comel' yang manja.Justeru Allah lahirkan ketenangan di situ di antara dua makhluk yang berbeza.Subhanallah.

" Orang yang berkasih sayang pasti akan mendapat kasih sayang dari Allah yang maha Pengasih.Hendaklah kamu sayangi sesiapa sahaja di bumi, pasti mereka yang ada di langit akan menyayangimu "
{ HR Abi Daud }

Wednesday, October 28, 2009

Di mana Syabab?

Syabab...Syabab

Kesian sungguh Ummu pada cerita adik kecil yang bernama Syabab itu.Dalam simpati, timbul juga rasa kagum.Perihal manusia yang berhijrah dari dunia penuh jahil dan kosong, kepada sebuah kehidupan yang bersendi syariat, dalam tempoh waktu yang tidak panjang, tentunya mengundang rasa ingin berfikir yang mendalam.

Sebuah lagi karya fatimah Syarha berjudul " Syabab Musafir Kasih " berjaya ummu khatamkan.Berlatarbelakangkan suasana kehidupan kampung memang amat secocok dengan jiwa ummu.Ummu gemar belajar dari orang kampung.Biarpun mereka mungkin ketinggalan di sudut maklumat moden, namun istimewanya mereka adalah pada mahalnya sebuah pengalaman dan nilai-nilai spiritual yang berkembang seiring usia mereka.Mereka banyak berdikari.

Gambaran bumi Syam menghiasi jalan cerita.Syabab yang bermula dengan budak kampung yang pengotor,bodoh dan buruk perangai akhirnya berjaya juga menjadi tetamu Syam.Pulangnya bersama ilmu agama penuh di dada.Berbekalkan semangat jiwa pemuda Syabab berjaya berda'wah kepada muda-mudi kampungnya yang liar,menjinakkan mereka kepada masjid dan kuliah-kuliah agama.Revolusinya tercapai.

Cerita Syeikh setaraf wali diserang polis tatkala memberi santapan rohani kepada pengunjung masjid, dan pantas dibela oleh Syabab betul-betul memberi kesan.Ummu mengharapkan lebih ramai pemuda kita memiliki semangat juang sepertinya.Tentunya ia adalah tempias pada kesolehan dan sinar taqwa yang memagari diri.

Cerita tetap tinggal cerita.Perlu pada suatu ketika cerita berubah kepada realiti.

Syabab..Syabab.Di mana Syabab?

Monday, October 26, 2009

Monolog

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani

Kini aku bungkam.Himpitan suara-suara nahyu mungkar bergema dan bergetar di celah-celah tulang osikel telingaku.Getaran sekadar mengekalkan tenaga kinetiknya, namun masih tidak mampu menterjemah impuls yang dihantar ke otakku.Kedua - dua belah tangan dan kakiku gagal memberi respon.

Tundukku sayu.Pedih...ngilu...semua perasaan berkecamuk menyerang tenangnya batin.Masakan tidak, ilmu yang Dia anugerahkan, tidak ku amalkan.Maksiat yang ditayang di depan mata, dibiarkan aksinya.

” Apabila kamu melihat kemungkaran, maka cegahlah ia dengan tanganmu, jika tidak berupaya, maka cegahlah dengan lisanmu, jika tidak berupaya maka cegahlah dengan hatimu dan itulah serendah-rendah iman ".....

Sabdaan junjungan yang ku pelajari bersama sahabat sehalaqah dalam usrah lewat usiaku di bangku kampus, terngiang-ngiang di cuping telinga.Owh....apa sudah jadi pada diriku? adakah aku futhur ? Nauzubillah

Imanku seolah-olah goyah menanti rebah.Persekitaran yang wujud kini menuntut pada cekalnya sebuah hati yang menaruh cinta yang tinggi pada Tuhannya.Kalau tidak kerana cinta sudah lama kaki ini rebah menyembah bumi.

Allah matlamatku.Jihad jalan kehidupanku.Islam adalah cita-citaku.Al-Quran pedomanku.Motto ini cuba ku dakap erat agar ia terus memandu arah cara ku berfikir.Globalinisasi dunia kini bukan hanya pada maklumat, namun pada arus kepelbagaian pemikiran.Silap langkah, kita bisa hanyut...

Apa jua mehnah yang Allah hamparkan, ku terjemahkan ia dalam bentuk kasih sayang.Tidak mahu ku kotorkan qalbun yang telah Dia ciptakan asalnya putih bersih dengan perasaan buruk sangka.Semakin kuat taufan, tandanya Dia semakin menyanyangi, dan memang itu yang disabdakan Nabi.Hasilnya jiwaku kini bahagia.

Duhai Tuhan...bantulah Kami, hambaMu.

Thursday, October 08, 2009

Bekalan keyakinan




Di hujung itu pasti ku temu CAHAYA

Thursday, October 01, 2009

Luruskan saf, Rapatkan saf

" kalaulah manusia tahu kelebihan yang ada pada azan dan solat pada saf pertama, kemudian mereka tidak dapat melakukannya melainkan dengan undian, pasti mereka akan melakukan undian itu " { HR Bukhari & Muslim }

Dalam kehidupan kita sehingga kini, pernahkah suara yang dianugerah Allah ini kita gunakan untuk melafazkan bait kalimah azan yang mulia?
Terkenangkan soalan di atas, terngiang kembali suara azan yang sering dilaungkan oleh budak-budak kampung di madrasah sebelah rumah Ummu.Syukur, lidah mereka telah menjadi pilihan Allah untuk menjadi saksi di hari kemudian sewaktu usia masih di rebung.Moga berkekalan hendaknya.

Tidak mengapa jika melihat mereka saling berebut mahu memegang mikrofon untuk melaungkan azan, bukannya bersesak-sesak untuk menyanyi lagu-lagu yang tiada nilainya di sisi Allah.Jinak-jinakkan mereka di umur muda, yang penting bukan pada lunaknya suara, tetapi pada hati yang ikhlas mengajak ummah bersama-sama menunaikan solat berjemaah.Ibarat Bilal, yang menurut riwayatnya suaranya tidaklah semerdu mana, namun lantaran kemurnian sekeping hati yang ikhlas mengajak manusia menuju Tuhan, seruannya telah berjaya menarik berbondong-bondong kumpulan manusia untuk bersolat.

Realiti kini, bila tiba di masjid seakan-akan kita tidak begitu bersegera untuk merebut saf pertama.Bahkan jika tiba-tiba ada kekosongan pada saf pertama, ringan sahaja tangan kita mempelawa orang sebelah untuk naik memenuh saf depan.Kalaulah yang ditimbun pada saf yang pertama itu emas dan harta qarun yang jelas kelihatan pada mata kasar, tentunya dari awal lagi kita ke depan, tidak mempedulikan lagi orang sebelah.Namun sebaliknya berlaku.

Bila menghampar sejadah, saiznya subhanallah..besar.Seolah-olah ingin memberitahu ini sempadan kawasanku, tidak dibenarkan melintasinya apatah mahu merapatkan bahu ke bahu.Lantas bagaimana mahu kita lihat keberkatan pada solat berjemaah? Justeru ummat kita masih tinggal lemah,senang digoyah musuh, hanya kerana punca yang kelihatan kecil cuma namun impaknya menyeluruh.Moga -moga kita semua boleh sama-sama memperbaikinya,insya Allah.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Abang ipar Ummu sudah seminggu berada di Hospital Pakar Perdana ' for perforated Acute Appendicitis .Beliau terpaksa menjalani dua kali pembedahan kerana komplikasi appendixnya yang telah pecah dan bernanah di sekitar usus menyebabkan sebahagian ususnya terpaksa dibuang.Tolong sama-sama doakan beliau agar segera sembuh dan berjaya digolongkan di kalangan orang-orang yang ditinggikan darjatnya berkat kesabaran beliau.

Saturday, September 19, 2009

Eid mubarak



Allahu akbar ! Allahu akbar ! Allahu akbar !


" Barangsiapa bangun beribadah pada malam dua hari raya dengan mengharap keredhaan, maka hatinya tidak akan mati pada hari matinya segala hati "

{ HR Ibnu Majah dan Thabrani }

Moga bertemu sinar cahaya.

Friday, August 28, 2009

Malam yang indah

Dunia ini jika dibandingkan dengan akhirat ibarat seseorang yang mencelupkan jarinya ke laut, air yang tersisa di jarinya ketika diangkat itulah nilai dunia.

Ikutlah resam manusia pada zaman keagungan Islam.Mereka melebihkan akhirat berbanding urusan dunia.Mereka diibaratkan menjunjung akhirat dengan tangan kanan dan menjinjing dunia dengan tangan kiri.Andai akhirat di atas hampir terjatuh, mereka akan melepaskan dunia untuk menyelamatkan akhirat dari tergadai.

" Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka siapakah antaranya yang paling baik amalnnya "
{ Surah Al-Kahfi 18:7 }


Kenapa sering kita menginginkan pujian dari manusia?

Manusia itu sama juga macam kita, sebab kita adalah manusia.Lantas apabila kita memuji manusia lain, maka begitulah juga perasaan mereka ketika memuji kita.Bersifat sementara,dan batapalah nilaiannya.Tetapi jauh bezanya sekiranya yang memuji kita itu adalah Allah, yang menguasai sepenuhnya segala jiwa manusia di bumi.Bahagia kita ketika ikhlas lain keindahannya ketika mana kita gembira bila dipuji makhluk semata.Ya...memang sungguh sukar saudaraku, Ummu mengakuinya.Ikhlas, Ya Allah tiada taranya nilaiannya, sungguh beruntung pemiliknya.

Selalu terdengar di corong radio IKIM, berhati-hatilah kita dengan penyakit 'sum'ah, iaitu perasaan gembira bila kita dipuji, dan berasa tidak senang jika saudara kita yang lain mendapat pujian.Alangkah tidak bersih perasaan itu kan..tetapi untuk menghambatnya,subhanallah perlu mujahadah tinggi.Usah putus asa.

.........................................................................................................


Hampir setiap hari menyaksikan kematian.Terasa sedih dan takut dengan kelemahan diri.Medical ward..penuh dengan peringatan.

Ya Allah, ampunkanlah kami seluruhnya
Kami lemah
Kami tidak berdaya
SyurgaMu benar, NerakaMu benar
JanjiMu benar

Betapa kami tidak terdaya
menanggung beban dosa kami
detik yang berlalu
terasa dosa yang menambah

Engkau turunkan Al-Quran
untuk diikuti
namun berapa kerat ayat
yang kami fahami dan patuhi
setelah umur yang hampir separuh dekad ini

bukan kami tidak tahu
bahawasanya azab menanti buat pelaku ma'siat
namun kami hina, kami degil, kami langgar arahanMu
kami ingkar suruhanMu
kerana kelemahan dan ketidakupayaan kami
kerana tunduknya kami kepada nafsu kami
Maafkan kami wahai yang Maha Pengasih

Ya Rahman
kasihanilah kami
kurniakan kami kekuatan
untuk terus menerus bertaubat kepadaMu
Lurus memperbanyak amal soleh
tidak lalai dengan dunia
sebelum kami dijemputMu untuk kembali

bantulah kami, tolonglah kami, Ya Rahim...

basahilah kami dengan air mata keinsafan
ubat kepanasan api neraka
sucikanlah hati kami
dari segala hasad, dengki, 'ujub, buruk sangka, pemarah
dan segala sifat mazmumah
lembutkanlah hati kami
dengan kasih sayang, pemaaf, belas kasihan sesama kami
dan segala sifat mahmudah
mudah-mudahan tergolonglah kami
dalm kumpulan hamba yang diredhai

Ameen..

Usah ditinggal walau satu malam di bulan Ramadhan ini dengan tahajud, wahai saudaraku.Kerana setiap malam adalah syurga bagi orang yang beriman.Tumpahkan sepenuh kasihmu pada Rabmu,menangislah ketika mana air mata masih mampu mengalir...moga bahagia dalam keni'matan muraqabah.Malam ini malam yang indah,moganya.