Monday, December 12, 2011

Kini Lafaz sudah Berucap



Alhamdulillah, setinggi kesyukuran tidak terhingga dirafa'kan ke hadrat Allah s.w.t...

Masih diberi nafas, peluang merasai keni'matan merasai cinta yang syar'ie.Jazakallah khaira buat zauj tercinta, kerana sudi melafaz ijab dan qabul tempoh hari.Moga kalimat-kalimat cinta dari Tok Guru meresap masuk mengalir dalam hati-hati kita buat bekalan melayari bahtera di samudera dunia yang sementara ini.

Hampir 3 abad lamanya bertarung melawan nafsu, menentang fitnah sedaya mungkin agar cinta yang berputik setelah diijab qabul adalah cinta yang suci, bersih dari sebarang noda maksiat yang mengundang kemurkaan Allah.Dan yang pasti segala peristiwa dan liku kehidupan yang dilalui sebelum ini telah menambah keyakinan dan iman akan benarnya janji-janji Allah.Hasil mujahadah adalah kemanisan...dan kini alhamdulillah kemanisan itu telah Allah anugerahkan, semoga ia terus menerus mekar sehingga akhirnya kaki-kaki ini bersama melangkah ke raudhah di jannah, ameen.

Untuk suami tercinta, Akhi Amir bin Zainal Rasid..selamat datang dalam kamus hidupku.Sungguh kita, telah Allah jodohkan di luh mahfuz sedari dulu.Moga Allah mengizinkan diriku untuk membahagiakanmu hingga ke nafas terakhir.

" Ya Allah, bahagiakan suamiku, kurniakan segala kebaikan untuknya, permudahkan segala urusannya, pelihara kesihatannya, jauhkan darinya dari segala yang mendukacitakan dan kepayahan, dan bajai iman taqwanya moga dia menjadi penghuni untuk syurga firdausMu.Selamatkannya di dunia dan akhirat "


~ Saksikanlah, Ya Allah,bahawa suamiku telah melakukan kebaikan untukku dan menyirami hati ini dengan cinta yang membahagiakan ~

----------------------------------------------------------------------------

Friday, November 04, 2011

Milikilah Aku KeranaNya



" Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara : Kerana hartanya dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkanmu."
(Riwayat Muslim)




"Ya Allah, izinkan dirikuku menjadi sekuntum bunga, yang dihiasi dengan kelopak akhlaq mulia, harum wanginya dengan ilmu agama, cantiknya kerana iman dan taqwa. Namun keindahan zahirnya disimpan rapi, biar menjadi rahsia yang kekal abadi, bukan perhatian mata ajnabi, yang menjadi punca fitnah hati dari lelaki yang berjiwa sepi. Wajahnya bukan mengundang dosa, timbulkan duri yang memagari dirinya agar terpelihara dari noda duniawi yang menghilangkan haruman sejati, yang memudarkan kecantikan diri untuk Kau calonkan diri itu sebagai bidadari syurga Mu. Ameen..."


Tidaklah ku harapkan lelaki yang hebat di pentas dunia, bukan juga yang namanya sering meniti di setiap bibir gadis-gadis kerana ketampanan dan kepimpinannya yang menyerlah tetapi, aku lebih memilih dia yang penuh dengan kerendahan hati, yang bangunnya di sepertiga malam menemui Sang Kekasih dengan hati yang sarat dengan kerinduan dan kecintaan kepadaNya. Hidupnya sentiasa dalam halaqah, yang ditarbiyah dan istiqamah dalam perjuangan dakwahnya. Biarlah dia tidak dikenali oleh sesiapapun asalkan namanya menjadi sebutan di langit Ilahi dan dirindui para bidadari syurga. Yang ku harapkan bukanlah putera berharta tapi yang diimpi biarlah putera agama. Bukanlah aku mengharapkan yang sempurna kerana aku juga serikandi dengan silam yang kelam...


Aku bukanlah seorang wanita yang memiliki harta bertimbun, bukan juga seorang yang mempunyai paras wajah yang anggun jelita bak bidadari, jauh sekali bersusur galurkan keturunan yang dihormati dan disegani. Apa yang ada pada diriku hanyalah agama yang menjadi pegangan dan panduan hidup untuk aku terus gah berdiri di muka bumi Allah ini. Maka milikilah hatiku dengan izin Allah, milikilah cintaku keranaNya, milikilah diriku kerana agamaNya dan milikilah jiwaku keranaNya.

----------------------------------------------------------------------

Friday, September 30, 2011

Pengembaraan

Rasulullah s.a.w bersabda :

" Hiduplah di dunia seakan-akan engkau adalah seorang pengembara atau orang yang sedang menumpang lalu " { HR Bukhari, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad }

Subhanallah...sungguh ajaib sebuah kehidupan.Gambaran, jalan cerita dan warna warninya terlalu pelbagai buat setiap insan.Lorong pengembaraan kekadang mengelirukan.Saat-saat akan tiba di mana suatu ketika kita buntu memilih.Mungkin ada yang tidak kisah, dirempuh sahaja mana-mana lorong di hadapannya,namun tidak bagi mereka yang percaya akan ada natijah baik dan buruk bagi setiap pemilihan.Memilih itu kadang-kadang meresahkan....

Allah s.w.t yang mewujudkan kita, mereka bentuk rupa kita, menganugerahkan roh untuk membolehkan kita mengembara di dunia asing ini.Dia telah bekalkan peta yang jelas, magnitud arah yang jitu bagi memastikan kita sampai dalam keadaan selamat ke destinasi akhir.Namun sayang tidak ramai yang berminat untuk melihat peta yang kekal dan tidak berubah-ubah itu,justeru ramai yang tersungkur dan sesat jalan, meraba-raba mencari jalan keluar.Al Quran adalah peta kehidupan yang paling agung,kekal tidak hilang ditelan zaman..maka,gunakanlah dan manfaatkanlah ia sepenuhnya.

Fitrah jiwa ini, terlalu lama dalam suasana penuh kesibukan, akan memerlukan bahkan amat membutuhkan saat yang hening, tenang dan mendamaikan.Solat yang khusyu', doa yang khudu', zikir yang penuh penghayatan adalah ibarat tiupan nyaman merawat qalbu.Tidak dapat dibayangkan andai tiada pensyariatan ibadah-ibadah tersebut, di mana mungkin hati ini akan terus hidup menghadapi suasana kekalutan sebuah kehidupan.Terima kasih wahai Tuhan..

" Ya Allah jadikanlah Al-Quran penghindar segala duka dan laraku "


--------------------------------------------------------------------------

Wednesday, August 31, 2011

Di Hening 1 Syawal itu...


Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahu Akbar

Maha Besar Allah yang telah menghidupkan roh untuk merasai kemanisan kemenangan sebuah perjuangan.Segala pujian selayaknya hanya untuk Pencipta yang Maha Agung.

Semakin besar mujahadah seorang hamba di bulan Ramadhan yang lalu, semakin tinggi erti kemenangan buatnya.Keperitan bukan untuk dideritai, sebaliknya untuk dinikmati keindahannya di hujung tatkala kejayaan menyusuli.

Salam E'idul Fitri untuk semua pengunjung budiman.Tentunya diri yang kerdil ini penuh tercalit dengan kelemahan dan kekurangan.Ummu memohon maaf atas segala khilaf.Semoga semangat memohon dan memberi maaf tidak terhenti di Syawal, bahkan terus mengalir hingga saat roh bertemu kepada Pencipta.

Bukan pertama kali pengalaman 'oncall' di pagi raya.Hati mana yang tidak pilu, saat mendengar takbir raya sayup-sayup dari masjid berhampiran hospital.Kita hiba, namun Allah mengajar kita untuk bersikap redha.Keluarga berjauhan, biskut raya tiada di depan mata,yang ada hanyalah katil dan pesakit..inilah sebuah perjuangan buat seorang hamba kerdil.Tidak baik mengeluh, amanah perlu ditunai sebaik mungkin.Hasilnya Allah kurniakan sekeping hati yang tenang.Moga Dia terus pelihara hati untuk bersikap qana'ah.

Hari pertama syawal, seperti pengalaman sebelumnya, kes kemalangan meningkat berganda.Awal pagi raya lagi, kecut perut ummu menaiki ambulans yang memecut laju menghantar seorang pesakit ke HUSM yang mengalami pendarahan otak akibat kemalangan.Mulut terkumat-kamit berzikrullah memohon doa pada Allah agar memudahkan dan menyelamatkan perjalanan kami.Masih muda adik lelaki yang kemalangan itu,'Extradural Hemorrhage' bukan masalah biasa-biasa, jika lewat rawatannya, pesakit boleh maut tidak sampai 48jam.Alhamdulillah..terima kasih kepada pemandu lain yang memberi laluan kepada kami, kami tiba di HUSM lebih kurang sejam kemudian.Dr Jason, pegawai perubatan yang 'oncall' di sana waktu itu,memberitahu pesakit akan terus dibawa ke dewan pembedahan.InsyaAllah 'prognosis' nya good.

Sekembali di HKK, dikejutkan pula dengan pesakit tiba-tiba mengalami komplikasi 'istestinal obstruction'.Hasil konsultasi dengan pakar, beliau terpaksa di bedah dengan segera.Dewan bedah hanya satu, berebut pula dengan 'cesearean section' untuk pesakit yang nak melahirkan anak, pembedahan kami terpaksa ditunda.

Malam muncul.Perut tidak sempat diisi lagi.Jamuan raya di jabatan kecemasan masih belum sempat dihadiri.Air masak diteguk untuk mengembalikan stamina dan kesegaran.Usai maghrib, panggilan dari 'casualty' kembali berdering.Satu lagi kes kemalangan melibatkan kereta Perdana yang terbabas melanggar pokok.Salah seorang lelaki melayu, 30an,tidak diketahui identitinya.Mycard nya tidak ditemui.Tiba dengan keadaan tidak sedarkan diri, lantas terus 'diintubate' dan bernafas melalui mesin.CT scan kepalanya menunjukkan beliau mengalami 'subdural hemorrhage with massive cerebral oedema'.Dr Jason dihubungi sekali lagi.Gambar scannya diemail segera.Namun Allah lebih menyayanginya.Dr Jason memberi laporan bahawa beliau sudah tidak mampu diselamatkan.

Secebis perkongsian cerita kehidupan seorang doktor.Walaupun sentiasa dihambat oleh situasi cemas, Allah sentiasa di sisi memberi kekuatan.Diri tiada daya melainkan dari Allah.Kepadanya kita semua berserah diri dan bertawakkal.Moga Dia terus melindungi dan memandu ke jalan yang lurus.

Bersama sempurnakan Ramadhan dengan puasa 6 hari di bulan syawal,insyaAllah.





---------------------------------------------------------------------------



Saturday, August 13, 2011

Saat yang berbaki

Ramadhan Kareem...

Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian untuk Al-Khaliq.Masih dikurniakan nafas dalam keredupan rimbunan taman-taman Ramadhan.

Hampir separuh perjalanan ia pergi.Perginya tidak akan kembali lagi.Saat yang tersisa adalah peluang yang tinggal untuk memanfaatkan semaksima mungkin.Biar sekadar mengalihkan duri di jalanan, atau sebuah hadiah senyuman ikhlas terbit dari hati yang cintakan Allah, bahkan mungkin kita hanya mampu menolong menuangkan air untuk orang yang berbuka..atau mungkin lebih kecil dari itu semua, ia tetap selamanya punya nilaian besar di sisi Allah s.w.t.

Orang berdosa membunuh 100 orang bisa Allah ampunkan.Seorang wanita dikurniakan syurga hanya memberi minum buat seekor anjing yang sedang kehausan.Tidakkah hati kita turut sama mengharapkan belas kasih-Nya agar dibersihkan segala kekotoran selama hidup kita di bumi pinjaman Allah ini.Alangkah indah menghadapNya dengan subuah 'qalbun salim'.Bersungguh-sungguhlah memohon ampun, gerbang masanya telah dibuka seluas-luasnya.Awal Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya keampunan, dan akhirnya kelepasan dari api neraka.

Bersedahlah.kalau bukan berupa harta, infakkan masa dan tenaga untuk perkara kebaikan.Bila dihulur bungkusan derma,ringankan tanganmu, berilah sekadar kecukupanmu.Tidak Allah lihat berapa not yang tertera, sebaliknya kejernihan sekeping hati yang memberi.





Al-Quran itu bait-baitnya indah.Qalam dari Tuhan, sebuah wasilah diaglog kita bersamaNya.Bila hati banyak mentadabbur, melihat huruf-hurufnya,memerhati pengajarannya nescaya kita akan dihubungkan sepanjang masa dengan negeri akhirat.Bahagianya jiwa pada hati yang tenang, tenangnya hati pada banyak mengingati Allah dan hari tujuan.Gandakan diaglogmu di bulan ramadhan.

Jangan sekadar puasa di perut.Kita masih punya 6 anggota lain yang perlu diperang nafsunya.Kita ada mata, telinga, mulut, faraj,tangan dan juga kaki.Berusahalah agar kesemua ni'mat Allah itu kita gunakan untuk yang ma'ruf.Binalah kubu pertahanan yang paling kukuh agar nafsu tidak bisa mungkin mencelah masuk ke kota kebaikan yang kita pelihara.Gunakan bom zikrullah, anak panah taubat, dan segala kelengkapan senjata yang ada bagi melemahkan musuh nafsu itu.Alangkah rugi, orang yang berpuasa hanya mendapat lapar dan dahaga,orang yang qiyam hanya mendapat berjaga malam.Kita berlindung pada Allah.

Pengalaman ke Qaryah Ramadhan.Terima kasih buat Tuan Guru kerana menyediakan biah rabbaniah di negeri Kelantan.Kepingin hati bertarawikh di Masjidil Haram, biar belum kesampaian, tempiasnya sudah sedikit terasa dengan berimamkan Imam di sana.Mudah-mudahan sampai jua hasrat hati ini suatu hari nanti..ameen.

Jazakillah khaira, buat Ummi usrah Ummu, Ustazah Fariza atas kata-kata pesanan yang sungguh menyentuh hati.Peringatan yang mengingatkan bahwa manusia ini tidak selamanya kekal di sini, bahawa dunia ini tidak adalah nilainya di sisi Allah walau sebesar sayap nyamuk.

Akhirnya duhai seluruh saudara-saudarku yang ku kasihi sekaliannya kerana Allah...berusahalah semampu mungkin bertamu di malam Lailatul Qadar.InsyaAllah.Salam silaturrahim.

-----------------------------------------------------------------------

Tuesday, July 26, 2011

Sampaikan...




Alam kanak-kanak....

Bangun sahur bersama ma dan abah.Waktu itu, mahu ditelan seketul daging pun susah..almaklum tidak biasa mengisi perut seawal jam 5 pagi.Pergi sekolah macam biasa..cuma bekal tidak dikelek bersama seperti selalunya.Yang specialnya, ma kata tengahhari dah boleh buka..:-)orang kata puasa separuh hari.Ummu tidak ingat berapa lama sempat berpuasa sekerat jalan macam tu sehinggalah alhamdulillah dapat puasa penuh macam orang besar !

Begitu bijak Ibuku mendidik, penuh dengan hikmah.Syukran laki ya ummi.


Alam remaja....

Tentunya puasa penuh adalah taklifan wajib.Waktu itu, sedikit sebanyak kefahaman bertambah tentang erti puasa, kalau dulu ikut-ikutan, kini adalah suatu pengabdian tulen yang bisa melahirkan kemanisan jika dihayati.Sungguh Ramadhan adalah saat terindah ! Kehadirannya ditangisi kerana gembira, dan pemergiannya jua ditangisi kerana kesedihan.Adakah mungkin untuk merasai lagi saat-saat indah sebegini.

Dan kini....

Hati cukup gementar, adakah masih berpeluang bertemu Ramadhan akan datang? Resah jua mengenangkan persediaan diri yang kurang.Hati yang bersinar, bersih dari dosa tentunya akan mera'ikan Ramadhan dengan penuh khusyu'.Apa yang diharapkan adalah rahmat Allah s.w.t yang diturunkan mencurah-curah di bulan ini bagi hamba yang terpilih.

Dosa bertimbun, 'amalnya sedikit..Rahmat Allah sahaja yang tinggal menjadi harapan.Ya Allah...ampunkan kami.

" Ya Allah, sampaikan kami dengan Ramadhan "


-------------------------------------------------------------------------

Monday, July 18, 2011

Kita akan kembali...




Seandainya kau tangisi kematianku
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu
Maka di atas tulangku yang hancur luluh
Nyalakanlah obor buat umat mulia ini
Dan teruskan perjalanan ke gerbang jaya

Kematianku adalah suatu perjalanan
Mendapatkan Kekasih yang sedang merinduku
Taman-taman di syurga bangga menerimaku
Burung-burung berkicau riang menyambut ku
Berbahagialah hidupku di alam abadi

Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Biarlah roh ku terbang mendapatkan rindunya
Janganlah gentar berkelana ke alam abadi
Nun di sana fajar sedang memancar

~ As Syaheed Syed Qutb ~


Al-Fatihah buat bonda Dr Lo'Lo'..moga tenang rohmu bersama para solehin.

Sunday, July 03, 2011

Who are you?




"I am a traveler seeking the truth,
a human searching for the meaning of humanity
and a citizen seeking dignity, freedom, stability and
welfare under the shade of Islam

I am a free man who is aware of the purpose of his existence and
who proclaims: “Truly, my prayer and my sacrifice, my living and my dying are all for Allah, the Lord of the worlds; no partner has He.

This, am I commanded and I am of those who submit to His Will.” This is who I am.

Who are you?"

(Hassan al-Banna)

-------------------------------------------------------------------

Friday, June 24, 2011

Sabar nan Indah




Sabda Rasululllah s.a.w yang bermaksud :

" Dan solat itu laksana sinar rambulan, sedekah itu bukti keimanan, sedangkan sabar itu laksana sinar matahari " { Riwayat Muslim }

Solat...sedekah...sabar
Tiga perkara yang amat tinggi kedudukannya di sisi Allah s.w.t.Seringkali dalam kitabullah menyebut kalimah sabar.Bahkan untuk bersolat perlukan kesabaran, untuk bersedekah jua perlukan kesabaran.

Sabar dalam melakukan keta'atan, sabar dalam meninggalkan kemaksiatan, dan sabar dalam menghadapi musibah.Semakin kuat kesabaran seseorang hamba, makin tinggi kedudukannya di sisiNya.Rasul 'ulul 'azmi tentunya telah diiktiraf antara golongan yang dianugerah darjat tertinggi lantaran kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat.Makin beriman seorang mu'min itu, maka makin beratlah ujian yang dihadapi.Bukan Allah bermaksud untuk menzalimi mereka itu, bahkan kerana Dia bertambah kasih.Jika mereka bersabar,Allah pasti akan mengangkat darjat mereka kepada yang lebih tinggi.Dia tidak akan menimpakan ujian yang tidak mampu untuk kita hadapi.

Bumi akan suram tanpa hadirnya sinar mentari.Itulah ibaratnya sifat sabar.Kita memerlukan walaupun ia menagih sedikit kesusahan.Ternyata sabar itu indah !

Friday, June 03, 2011

Akhirnya, sahabat...




Tingkahnya penuh kelembutan.Wajahnya indah, sentiasa manis dengan senyuman.Pantang berjumpa, pasti jari jemarinya pantas sahaja memegang tangan dan merangkul tubuh penuh kemesraan.Tidak walau sekali, suaranya meninggi apatah mengeluarkan bicara menyakitkan hati.

Biarpun belum menimang cahaya mata, lagaknya penuh keibuan.Berapa kali sudah, ummu ditegur dengan rasa kasih sayangnya, agar banyak memakan sayur.Setiap kali berjuadah bersama, kalau dilihat pinggan ummu kosong tanpa sayur, pasti disuakan sayur dalam pinggannya.Baginya halia adalah ulam.Suap menyuap adalah rutin bagi kami.

Sebuah nostalgia yang entah bila akan berulang.Memori tinggal kenangan,tersimpan rapat dalam lipatan sejarah seorang gadis.Kini, sahabat itu telah terlebih dahulu melangkah ke 'alam baru.Melayari kehidupan bersama nahkoda yang setia di sisi, seorang yang bergelar suami.Ummu do'akan bahtera kalian selamat tiba di perhentian sebuah perkampungan indah di dalam syurga.

Untukmu sahabatku, ketahuilah diriku kagum dengan ketabahan dirimu dalam menongkah ujian dunia, jua terhibur dengan akhlakmu yang indah.Semoga Allah terus merahmati dirimu, Ukhti Nur Farhana Che Lah.Tahniah atas walimahmu.

" Semoga Allah memberkati kalian berdua, dan menghimpunkan kalian dalam kebaikan "


Tuesday, May 24, 2011

Maafkan




"...dan jika kamu maafkan dan kamu santuni serta ampuni (mereka), maka sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang" (At Taghaabun, 64:14)

Indahnya kehidupan ini andai maaf menjadi pakaian hiasan diri.Hati yang bersinar dengan cahaya iman, begitu mudah untuk memaafkan.Sujudnya saban waktu, merintih keampunan dari Tuhannya, secara langsung melembut jiwa yang bersih itu,untuk memberi kemaafan.Kita tidaklah sehebat mana untuk tidak memaafkan....

Allah s.w.t, Tuhan yang Maha Pengasih, begitu murah dengan pengampunan.Kalau dikira jumlah detik waktu kita ingkar dan berlaku ma'siat, tidaklah layak untuk memohon pengampunan itu.Tetapi Allah tidak pernah jemu memberi kemaafan.Bahkan hamba yang meminta ampun itu bisa menjadi orang yang dikasihinya.Justeru siapa pula kita untuk tidak memaafkan....

Tiada ruginya kita dengan huluran kebaikan yang kita berikan kepada orang yang menzalimi.Allah s.w.t menyeru manusia untuk membalas kejahatan dengan kebaikan, mana tahu dengan jalan itu, orang yang sebelum ini adalah musuh ketat kita, berubah dengan izinNya menjadi teman karib.Jiwa yang sentiasa memaafkan membuahkan bahagia dan ketenangan.Tidakkah kita inginkan hati sebegitu ?

Anda mampu.Sesiapun mampu.Maafkanlah...

Friday, May 06, 2011

Thabit dalam perjalanan

" Sesungguhnya orang yang berkata ' Tuhan kami ialah Allah,' kemudian mereka tetap di atas jalan yang betul, turunlah kepada mereka malaikat dengan berkata ,' Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu '"

{ Surah Al-Fussilat, 41:30 }

ISTIQAMAH, perkataannya hanya satu.Sebutannya mudah di lidah.Zahirnya tampak ringkas.Namun hakikatnya ia tidak begitu...

Kalaulah tiada Dia yang meolong menjaga, memagari hati kita dari tersasar keluar dari bulatan yang lurus,nescaya selamanya kita tidak sampai ke tempat tujuan.Diulik lintuk dengan angin monsun, andai menuju ke timur, ke timurlah kita, andai ke barat, maka ke baratlah kita.Begitu lemah dan dhaif manusia, kita tidak mampu berdiri tetap melainkan dengan doa dan harapan serta pergantungan penuh kepada Allah.

Barang yang susah dicari, selalunya upahnya tersangat lumayan.Justeru Istiqamah adalah sesuatu yang amat sukar,perlukan mujahadah.Tidak hairanlah Allah Yang Maha Pengasih menjanjikan hadiah yang paling 'grand'..apa lagi yang kita mahukan selain syurga?

Kini, Ummu baru sahaja 5 hari dikeluarkan dari kepompong zon yang agak selesa,dibawa keluar melihat zon luar yang berbeza.Masih terlalu awal untuk menilai tempat baru.Walau apapun syukur yang tidak terhingga buat Allah, Tuhan yang dicintai, kerana memaqbulkan doa kami semua.

Hospital Kuala Krai tentunya berbeza dengan HRPZII.Selain kapasitinya yang jauh lebih rendah untuk menampung pesakit,kes sehariannya juga tidak sebanyak di HRPZII.'Ward round' mampu dihabiskan seawal jam 10 pagi.Klinik pula ramainya tidak 'sehebat'di kb.Di sini, kita masih boleh melihat seorang ibu mendukung dua orang anak kecilnya sekaligus , seorang di depan, seorang di belakang dengan hanya menggunakan kain pelikat :-)

Terasa amat 'kejam' hati ini bila melihat golongan faqir..adakah bisa kita tenang dalam senang lenang dengan duit yang melimpah sedangkan di luar sana, ramai lagi saudara seIslam yang hari-hari sibuk memikirkan cara untuk mendapatkan sesuap nasi? alangkah mulianya hati mereka, tetap sabar dan terus berusaha.Moga Allah memelihara jiwa mereka dan menambahkan rezeki yang berkat.Dan...moga Allah menjadikan hati ini lebih rajin menghulurkan.

Episod baru kehidupan baru berumur 'setahun jagung'.Didoakan agar perjalanannya lebih terurus,indah, berkat dan diredhai...dan tentunya ISTIQAMAH terus menjadi teman setia di sisi.

Salam rindu buat semua di HRPZII.


--------------------------------------------------------------------------

Friday, April 15, 2011

Saat dinanti

" Wahai orang-orang yang mempunyai jiwa yang tenang (tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya).Kembalilah kepada Tuhanmu dalm keadaan engkau redha (dengan segala ni'mat), lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)" { Surah Al-Fajr : 28 }

Berat sungguh terasa kelopak mata.Teringin untuk menyambung sahaja tidur, namun panggilan Nya terasa lagi indah.

Agak lama juga ummu 'bergelut' di dewan bedah semalam, tujuannya hanya ingin mengeluarkan satu skrew yang telah patah pada tulang paha seorang pesakit.Dalam 'kekhusyukan' mencari skrew, sedar-sedar jam di dinding bilik bedah menunjukkan angka 3 pagi.Tidak mengapa, semoga Allah menerima amal sebagai salah satu jihad di jalanNya.

Seperti biasa, hari Jumaat tentunya antara hari yang ditunggu-tunggu.Barokah yang terkumpul padanya sedikit sebanyak mengubat hati yang alpa.Cuba digagahkan diri untuk meneruskan niat sebelum ini, ceramah di dataran ilmu tak boleh dilepaskan.Ibarat bulan Ramadhan yang hadirnya sebagai pencuci hati yang lalai selama setahun, maka hari jumaat adalah penjernih jiwa setelah seminggu dalam kelalaian.



Biarpun tiba agak lewat, namun pengisian dari ustaz di hujung ceramah beliau cukup memberi erti.Diqisahkan kembali tentang cerita Nabi Yusoff a.s, bagaimana taqwanya menjadi benteng dari maksiat.kenapa masyarakat tidak mahu mengambil iktibar dari qisah ini sebagai penyelesaian kepada kebejatan masalah perzinaan yang semakin bercambah? Allahu Akbar...moga Allah memberi kita semua petunjuk.

Mata sempat menoleh pada seorang pakcik, ketinggiannya tidak seperti manusia yang normal, diciptakan beliau dalam keadaan lebih rendah dari biasa.Terdetik hati..astaghfirullah, alangkah tidak patut diriku yang dilahirkan cukup sempurna sifatnya untuk tidak bersyukur dengan anugerah Allah, apatah lagi menggunakan ni'mat tangan dan kaki pada jalan ma'siat, mohon perlindungan Allah dari hal yang demikian.

Justeru, lihatlah orang yang di bawah dalam perkara ni'mat,namun lihatlah pula orang yang di atas dalam perkara 'amal, mudah-mudahan tergerak hati untuk bersegera kepada kebaikan.

WHAT YOU GET IS WHAT YOU SEE.

Friday, March 11, 2011

The muslims in their mutual love...

" When Allah loves a slave, calls out Jibreel and say : 'I love so-and-so; so love him'Then Jibreel loves him.After that he ( Jibreel )announces to the inhabitants of Heavens that Allah loves s-and-so; so love him; and the inhabitants of the Heavens ( the angels ) also love him and then make people on earth love him. "

{ Al -Bukhari and Muslim }

" Verily, God loves those who do good "
{ Al-Baqarah : 195 }

Let me tell you a story I once heard.

This incident took place during the Special olympics in Seattle.It was the 100 yard dash where 9 contestants took part.Some of them were physically challenged while others were mentally disabled.

As the sprinters lined up at the starting line, the starter prepared to fire the gun.On the usual ' on your mark, get set, go ! " together with the gun fire, all the contestants started running, not exactly in a dash but with smiles and clear enjoyment to run the race to the finish and win.

However, midway, one of the contestants accidentally stumbled on the asphalt.He fell and rolled over a couple of times, and began crying.

Then, something amazing happened.When all the other eight heard the fallen friend crying, they slowed down, turned around and went back to the crying boy.

One girl with Down's syndrome bent down and kissed the painful knee and said " This will make it better ".

Then, they helped the crying friend up, held hands and walked to the finishing line - together ! everyone in the stadium stood, and the cheering went on for several minutes.




---------------------------------------------------------------------------

I asked myself - have I ever stopped 'my race' when i heard someone crying behind me ? When I heard a cry, did I look back and help? or did i simply ignore them? Did i even know who was crying?

I am sorry to everyone around me whose cries I have ignored, whose painful knee I forgot to kiss and whom I left behind because I wanted to win the race alone

Rumi said once :

Love is the cure,
for your pain will keep giving birth to more pain,
until your eyes constantly exhale love as effortlessly as your body yields its scent.


Article from Inspirational book : Life is an open Secret by zabrina A. Bakar

Sunday, February 27, 2011

Dalam keributan itu...

Allah s.w.t berfirman dalam hadith Qudsi :

" Sekiranya Aku uji salah seorang hamba-Ku yang beriman, lalu ia memuji-Ku atas ujian itu, berilah pahala yang bersambungan naginya, sebagaimana pahala yang biasa kalian berikan "

{ HQR Ahmad dan Thabrani }

" kami akan menguji dan mecuba kalian dengan kebaikan & kaburukan sbagai ujian, dan kepada Kami kalian dikembalikan "

{ Surah Al-Anbiya' : 35 }

Hati milik manusia ini , fitrahnya akan teruji & terusik apabila datang cabaran dan ujian.Minggu ini sahaja, Allah menguji dengan ujian masa.Ingin menunaikan amanah sebaik mungkin, sekuat mana daya seorang insan tanpa pertolonganNya.

Alhamdulillah, walau dalam kesibukan...terasa pada mulanya amat mustahil untuk menyiapkan segala kerja, namun hati terus menerus memohon Allah membekalkan kekuatan & keyakinan.Alhamdulillah..kini satu persatu Dia telah selesaikan,kadang-kadang terasa sungguh aneh bagaimana akhirnya ia 'settle'..itulah kuasa dari Tuhan yang maha berkuasa berbuat apa sahaja, tiada mustahil bagiNya.Terima kasih ya Allah..sungguh terima kasih.

Dalam keributan, Dia kurniakan seorang insan yang begitu besar nilai kasih sayangnya, terasa berat olehnya melihat penderitaan ummu..insan yang sejak kecil tidak jemu-jemu memberi perhatian dan membangunkan diri ketika jatuh, meniup semangat dan tentunya paling ternilai nasihat-nasihat indahnya agar teguh dengan agama.Tak terbalas...walau sebanyak mana bakti ditabur.Terima kasih ibu.Ibu sungguh baik, dan tentunya ibu telah melaksanakan amanah seorang ibu kepada anaknya dengan sempurna...cukup banyak sudah ibu memberi.Hanya Allah sebaik-baik pemberi ganjaran, semoga ibu ditempatkan bersama golongan yang diredhai Tuhan.

Abah jua tentunya...yang senantiasa kaya bersama doanya untuk anak-anak.Tak kan ummu lupakan setiap kali hembusan tiupan doa dari abah atas jubun dahi ummu setiap kali melangkah keluar ke tempat kerja.Kasihmu sungguh dalam dan bererti,gerak -gerimu sungguh tenang, dan nasihat-nasihat agamamu begitu mendamaikan.Terima kasih abah.

Kembalinya....setiap ni'mat itu hakikatnya dari Allah, justeru terima kasih Tuhan atas segala kurniaanMu.

---------------------------------------------------------------------------------

Sunday, February 13, 2011

Benteng Mazmumah





"Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung diri dengan-Mu daripada kelemahan, kemalasan, sikap pengecut dan kekikiran, kerungsingan serta seksa azab kubur.Ya Allah ya Tuhanku,selubungulah jiwaku dengan ketaqwaan dan sucikanlah ia, sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang dapat menyucikannya kerana Engkaulah Pentadbir dan Penguasanya.Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung diri dengan-Mu dari ilmu yang tidak berguna, dari hati yang tidak khusyu', dari jiwa yang tidak kenal kenyang dan dari doa yang tidak diperkenankan"


{ HR Muslim }

----------------------------------------------------------------------------

Friday, February 04, 2011

Fatwa Mesir

Pengerusi Kesatuan Ulama' Islam Sedunia Dr. Yusuf al-Qaradawi menyeru semua rakyat Mesir untuk bergabung bersama penunjuk perasaan bagi memberi kekuatan kepada mereka, dan menuntut tentera untuk campur tangan untuk melindungi rakyat, beliau juga menegaskan bahawa Presiden Mesir sudah"mulai membantai umat-Nya.".

Dr. Yusuf Qardhawi menyeru semua pemuda yang menyertai perhimpunan tetap dalam sikap mereka dan tidak meninggalkan perhimpunan sehinggalah kamu akan "Hidup mulia" atau "Mati syahid"

Beliau juga menyeru semua ahli politik hari ini supaya bersepakat dan tidak berselisih, dengan menyatakan Rakyat yang menentukan, tinggallah semua teori2 politik, mereka sepatutnya menjadi qudwah dengan darah mereka bukan dengan kata2 atau ulasan sahaja.

Beliau menegaskan bahawa Mubarak sudah mula membunuh rakyatnya, bagaimana kita boleh katakan Mubarak mengasihi rakyatnya sedangkan cuba membunuhnya, perkara ini samalah dengan apa yang dibuat oleh Firaun terhadap pengikut Nabi Musa.

Beliau menujukan kenyataannya kepada Mubarak: Haram ke atas kamu membunuh rakyat kamu sendiri... Akan berlaku akibatnya


---------------------------------------------------------------------------

Saturday, January 29, 2011

Sudden click




Manisnya dan besarnya anugerah setitis air mata.


Hati gersang ibarat rumah usang yang lama ditinggalkan.Habuk bertaburan memenuhi lantai juga sawang yang hampir sahaja menutup ruang dalam.Siapa yang inginkan hati yang begitu ?....kosong.

Entah kenapa setelah hampir mungkin 2 tahun sudah video itu terkunci rapat dalam folder 'kenangan USMKK', malam ini hati yang gersang itu terketuk untuk mengklik di skrin layar laptop.Hati juga pandai berkata-kata...

3 video palestin dimainkan kembali.Lantas hati terus tersentuh,mudah sahaja air mata mengalir.Sudah lama hati gersang ini tidak mengelami saat-saat sebegini.Pantas sahaja segala memori di alam kampus menerjah ke ingatan.Astaghfirullah, di mana hati ini sekarang?...tiada jawapan.

Syaitan la'natullah itu sememangnya musuh bagi manusia yang nyata, jelas terangnya tidak perlu disuluh.Akan disesatkan anak-anak Adam kesemuanya, begitu ikrar mereka.Tidak akan dilepaskan walau seorang, melainkan mereka yang benar-benar ikhlas intima'nya kepada penyerahan kepada Al-khaliq, kelompok itu mereka sedia mengangkat bendera putih.

Ya...siapa kata syurga itu mudah? tiada yang mengiyakan.Hakikatnya ia payah, ingin mendapatkan sesuatu yang bernilai tentunya tidak mudah.Perlukan tabah, sabar, jua keyakinan.yang pasti, Allah sahaja sebaik-baik Penolong.Wahai manusia kita semua ini lemah, perlukan Allah setiap masa dan ketika.

Setidak-tidaknya, dapat juga rumah gersang itu merasai udara sejuk malam ini.Habuknya sedikit sebanyak dapat dibersihkan.Sawang-sawang yang memenuhi siling diuraikan.Bolehlah kini ia bernafas sedikit lega....


Terima kasih wahai Tuhan.


------------------------------------------------------------------------------------