Friday, February 27, 2009

Ekspedisi ziarah




Alhamdulillah.syukur pada Allah s.w.t,Tuhan yang maha pemurah.
Kini tinggal berbaki 2 hari lagi cuti untuk ummu manfaatkan sebaik mungkin sebelum mempersiap diri untuk berdepan dengan musuh di medan gempur jihad dalam medan pertempuran baru yang lebih mencabar, menghadapi tentera-tentera yang jauh lebih handal bersama alat senjata yang lebih canggih.
Posting O&G antara posting yang digeruni oleh seorang houseman.Begitu antara yang sampai ke cuping telinga ummu.Jikalau sebelum ini pun ummu telah dapat merasai pertempuran jihad berdepan nafsu bermalas-malasan, nafsu tidur, nafsu mahu bersenang-senang, dan sekalian lagi jenis nafsu...maka mungkin nafsu yang bakal berdepan dengan ummu 2 hari lagi ini jauh mengatasi,jauh lebih besar yang meminta untuk pengorbanan dan jihad yang jauh lebih kuat.
Kini..berada di belakang tapak Universiti Malaysia Terengganu.Mengisi masa terluang yang mahal harganya ini bersama adik beradik dan saudara terdekat, besertakan niat untuk memanjangkan silaturrahim adalah sesuatu yang memberi kemanisan.Lebih manis jika hati terasa makin ikhlas.Diri kini bagai dapat dirasakan bukan lagi untuk kepusasan sendiri.Kepayahan dan penderitaan di alam pekerjaan melatih dan mendidik hati untuk bersedia dengan senang hati untuk sentiasa dalam keadaan memberi, bukan menerima.Kerana hakikatnya tarbiyyah Allah di alam pekerjaan jauh sekali memberi peluang untuk kita merasa berada dalam keadaan menerima.Itu yang ummu rasa...ummu tidak tahu sahabat lain bagaimana.
Walau perit..sungguh perit,namun imbalannya ialah kita lebih bersedia untuk menjadi seorang yang kental,sungguh sayang pada waktu yang berlalu,dan lebih manis ialah lebih dekat pada Allah.Setiap saat hati kita berdoa,bagaikan ada suatu tali yang menghubungkan kita dengan Allah,andai sedetik sahaja tali itu terputus,ummu dapat rasakan ummu hilang punca kekuatan,lantas kita akan hanyut dalam arus aliran air yang deras...
Kini ummu dalam ekspedisi ziarah adik beradik.Bermula di Kuantan..Kerteh dan sekarang di KT.InsyaAllah esok kembali bertemu ibu dan abah tersayang di kampung.Doakan kami selamat.
" Ya Allah jadikanlah pertemuan kami ini sebuah pertemuan yang dirahmati, dan perpisahan kami selepas ini adalah sebuah perpisahan yang jauh dari dosa "

Monday, February 23, 2009

Mahalnya sebuah peringatan

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

" berlumba-lumbalah kamu kepada mendapatkan keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasulnya.Itulah kurnia Allah, diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.Dan Allah mempunyai kurnia yang besar " { al-Hadid : 21 }

sejak ummu meyaksikan kematian demi kematian..
terasa sangat kecut dan takut
setiap masa ummu rasa mahu menangis
sangat takut dan bimbang
keseorangan menghadapi taqdir ketentuan
di suatu alam yang diwajahkan deengan dua keadaan
cahaya atau gelap gelita
ni'mat atau azab
sangat takut untuk menghadapi saat itu

sewaktu nyawa dicabut malaikat izrail
gerun menerima kenyataan bahawasanya sakaratul maut itu pedih
walau sesuci nabi pun menerima kesakitannya
apatah ummu yang sarat dengan beban dosa

Ummu menyaksikan sendiri sahabat
dan ia bagaikan menyentap jiwa buat seketika
bagaimana keadaan seorang pesakit
mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu di bibirnya
sewaktu itu beliau diserang sakit dada
dan beliau tahu masanya telah hampir

lantas tika itu
ummu membayangkan seandainya dia adalah diriku waktu itu
tentunya bagaikan gunung jatuh menghempap diri
bagaimana mampu digambarkan penyesalan ketika itu
yang kita tahu sudah tiada gunanya lagi

ajaib sungguh sahabat
sungguh benar kematian adalah peringatan paling berkesan
menyedarkan dari kelalaian
memaksa diri untuk ber'amal
menolak diri untuk taat
dan memagar diri untuk derhaka
kerana bayangan TAKUT
akan azab Tuhan
kini untuk mengangkat muka menghadapi dunia pun
ummu sudah tidak sanggup
kerana bimbang ummu tidak dapat menahan diri dari dosa
risau akan hadir titik hitam yang baru melekat di hati
mahu sahaja membiarkan diri terus sujud
menangis tersedu-sedu mengadu akan kelemahan
kepada Allah yang maha simpati

kerana kalau tidak kerana rahman rahimNya
tentunya sekujur tubuh ini terpaksa menerima akibat
akan segala keingkaran
na'uzubillah

Ya Allah...ampunkan dan selamatkanlah kami dan seluruh saudara-saudar kami yang telah maninggal mahupun yang masih hidup.




Saturday, February 14, 2009

Pintalah hati yang baru

" carilah hatimu sewaktu membaca al-Quran.Jika kau tidak ketemui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat.Jika kau tidak ketemui, carilah hatimu ketika duduk bertafakkur mengingati mati.Jika kau tidak katemui juga, berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru "

{ Bait qalam Imam Al-Ghazali }

Untukmu sahabatku, ghaddul bashar.Khusus ku hadiahkan buatmu.Usai menjenguk lamanmu sebentar tadi.

Qalbun salim.Alangkah indahnya jika kita adalah antara pemilik hati itu.Payahnya menjaga seketul daging ini bagi ana, sesiapun pasti merasainya.Fitrahnya kita akan berasa tenang seandainya hati itu bersih.Penuh dengan kebaikan dan sifat mahmudah.Kerana itu para ulama' mengatakan bahawa petanda redha adalah apabila kita melakukan sesuatu hati kita diselimuti perasaan tenang, dan sebaliknya bila kita berasa keluh kesah dan dihambat kebimbangan, maka berhati-hatilah kerana itu petanda kita sedang berdepan dengan maksiat, moga kita dijauhkan darinya.

Kehidupan dunia adalah sebuah pentas drama.Pelakonnya adalah manusia yang dilabel dengan watak yang baik dan jahat.Hakikatnya bila kita membayangkan ia hanyalah sekadar sebuah sketsa yang akhirnya akan tamat ceritanya, maka tentunya kita tidak akan melayani dan terbawa-bawa dengan cerita lakonan yang bersifat menipu daya.Justeru jikalau bukan dunia ini yang ingin kita serahkan jiwa bulat-bulat, maka ke mana lagi ingin kita bawa sekeping hati ini ?

Islam datang membawa sinar bahagia.Bukan kesengsaraan dan jua bukan penderitaan yang menjadi matlamatnya.Datangnya ingin menyelamatkan sekeping hati yang mudah berbolak balik ini, agar tetap teguh pada prinsip haq yang datangnya dari wahyu.Datangnya memberi harapan bagi mereka yang berputus asa, menyegarkan kembali hati yang dilanda kegersangan.Hati yang sejahtera adalah hati yang merdeka.Merdeka di sudut berjaya meletakkan satu-satunya bagi dirinya hanyalah ditujukan untuk Allah.

Prof Dr Hamka ada menyebut,

" Nabi Muhammad s.a.w berjaya melakukan satu revolusi jiwa yang hebat dalam sejarah manusia "

Masakan tidak, bagaimana mungkin boleh berlaku perubahan sebuah zaman yang penuh dengan unsur jahiliyah yang tidak manusiawi,membunuh anak sendiri, bebas berzina , di sana sini penuh dengan pergaduhan bertukar menjadi satu ummat yang tinggi nilai estetikanya, murni akhlaknya, luhur sosialnya, kalau bukan perubahnya adalah seorang pemilik hati yang agung.

Iman sangat dekat pada hati..iaitu tasdiq biqalbi ( membenarkan dengan hati ).Justeru, bawalah sekeping hati ini bersama iman yang benar mengadap Tuhan yang mencipta hati itu.

Saturday, February 07, 2009

ISA..

" kita akan tubuhkan badan kebajikan ISA " ujar ustaz mustapha, adun Demit.


Mulanya hati membayangkan ISA yang kejam itu.Rupanya ada maksud lain yang cuba ustaz utarakan kepada hadirin yang membanjiri masjid Binjai yang letaknya tidak sampai 1 km dari rumah Ummu.Begitulah keadaannya bila tiba jam 9 pagi setiap hari sabtu.

ISA...yang dimaksudkan adalah :

I - ilmu yang bermanfaat yang diajar kepada orang lain
S - sedekah jariah
A - anak yang soleh

Itulah antara agenda yang cuba diketengahkan oleh wakil rakyat ini.Ketiganya merupakan saham berterusan yang tarikh luputnya tidak wujud, tidak akan ada ketika nilainya jatuh merudum bahkan sentiasa menjanjikan pahala dan pulangan keuntungan yang berganda-ganda.

Lantas ummu segera teringat kepada status insan bergelar guru.Walau hakikatnya ilmu itu adalah kurnia dari Allah untuk hambanya, namun guru adalah antara aset penting sebagai wasilah untuk kurnia itu samapi kepada penerimanya.Mulianya mereka di sisi Allah kiranya 'amal itu dibuat dengan ikhlas dan setiap pahala 'amal kebaikan yang akan dibuat oleh muridnya pula akan terus menerus sampai padanya walau waktu itu jasad mereka sudah berada dalam tanah.Allah ya Rahim..

Sedekah jariah..sedekah adalah antara amalan yang akan memanjangkan umur insan selain menjaga hubungan silaturrahim.Bersedekah dapat mengikis sifat takabbur, kedekut dan pentingkan diri.Usah teragak- agak untuk memberi jika hadir peluang, kerana hakikatnya rezeki yang diberi pinjam Allah itu bukan sekadar untuk kita gunakan sesuka hati, memuaskan nafsu sendiri, ia perlu dibersihkan.Tidak akan luput harta kita andai tangan kita ini ringan memberi, kerana janji Allah itu haq, tiada yang boleh menggugat bahawa Dia akan menambahkan hati ni'mat kepada orang-orang yang bersyukur kepadaNya.Sematkan dalam hati, kukuhkan keyakinan dan kunci ia rapat-rapat dari membenarkan pendatang asing berupa syaitan laknatullah memecah masuk pintu hati kita.Bersedekahlah saudaraku walau dengan sekadar sebuah senyuman persaudaraan yang ikhlas disandarkan kepada Allah.

Semua manusia yang waras, punya impian memiliki anak yang soleh.Anak-anak adalah ni'mat dan setiap ni'mat adalah ujian.Alangkah bertuahnya ibu bapa yang berjaya mentaati Allah dengan mentarbiyyah anak-anak mengikut acuan Al-Quran sehingga lahirlah wajah-wajah yang menyejukkan hati dan pandangan mata zahir.Mereka adalah saham kerana setiap perbuatan yang mereka lakukan berupa amal soleh yang lahir dari didikan kita ibu bapa yang mengajarnya akan menjanjikan pahala terus menerus hingga hari kiamat.Bahagialah keduanya di alam barzakh berkat doa dari jiwa-jiwa yang jernih dan bercahaya.

INTERFAITH DIALOGUE

Alhamdulillah, berjaya menarik kakak untuk sama-sama mengikuti forum yang telah diadakan di Dewan Utama USMKK semalam.Forum yang menarik menampilkan panel-panel yang kesemuanya 'arif dalam agama masing-masing.

Sungguh sejuk melihat para panel saling berpelukan antara satu sama lain walaupun mereka berempat adalah mewakili anutan agama yang berbeza.Forum adalah berkisar 'basic understanding' untuk agama Islam, kristian , hindu dan buddha.

Jika diteliti Islam agak menyerupai ajaran kristian dan Buddha lebih mirip kepada hindu.
Sungguh sayang sekali kerana percanggahan antara agama bagi ummu hanyalah mungkin 10 % sahaja, yang selebih 90% jika diteliti kesemua agama mempunyai persamaan.Oleh sebab itu ummu tidak hairan melihat personaliti mereka yang berpegang kuat pada agama, walau apa pun agama mereka punya kualiti yang tinggi.

Moderatornya cukup berbakat sekali, Mr kamaruddin.Celotehnya menghiburkan penonton dan kekadang semangat perpaduan yang cuba diterapkan olehnya berkobar-kobar hingga bergegar dewan yang boleh menempatkan hampir 3,000 orang mungkin.Sempat juga diselit isu panas sekarang yang melanda negara berkenaan negeri perak.Sungguh benar kenyataannya, biarlah mereka yang 'arif dalam bidang agama ini yang memegang tampuk pemerintahan negara agar tidak bercelaru sebagaimana yang berlaku sekarang, kerana 'faith to God' akan melahirkan mereka yang hanya membawa kemakmuran dan keamanan dunia.

Ya Allah...mudah- mudahan sedikit ilmu yang dikongsi ini diterima sebagai salah satu antara ISA tadi,ameen.

Mari bersama doakan moga Allah memberi kekuatan dan ketenangan buat akhi fillah, MB Mohammad Nizar dan kesemua pejuang, penegak agama Allah di muka bumi.