" Aya tak pi malam ni ? "
" Ke mana ya ? "
" Ke Teater di USMKK sempena Minggu Penghayatan Islam "
Antara dialog yang hanya berlangsung kira-kira 10 jam yang lalu.Niat telah Allah gerakkan seminggu lepas,namun respon sekadar bersahaja.Sehinggalah Dia mengingatkan kembali bahawa diri ini jua tertanggung atasnya hak untuk menyokong dan mendaulat apa sahaja usaha da'wah.Bersua kembali dengan wajah-wajah mulia adik-adik yang subur imannya, membara semangat jihadnya merupakan peluang untuk membersih hati sendiri.Jazakumullah ya akhawat.
Setiap yang wujud di dunia ada manfaatnya.Adalah mustahil bagi Allah untuk menciptakan sesuatu dengan sia-sia.Justeru seni ada ertinya.Ada nilainya.Cuma yang menjadikan kita begitu pesimis pada seni adalah kerana majoriti pendokongnya tersasar dari landasan yang seperti yang dikehendaki Allah.
Teater " Menunggu Kata dari Tuhan " adalah contoh bagaimana kita memanfaatkan seni.Menterjemah Hadith sahih ke dalam sebuah bentuk penceritaan kisah teater sekurang-kurangnya telah membuka dimensi baru.Tidak ada salahnya pada seni.Bahkan banyak faedahnya kepada gerakan da'wah, lebih-lebih lagi pada era yang menjalarnya pengaruh hedonisme.Setidak-tidaknya kita telah pun menyediakan alternatif.
Kredit untuk saudara Sabri Yunus selaku pelakon, saudara Sani pemain muzik dan tentunya kepada pengarah teater, saudara Dinsman.
----------------------------------------------------------------------------------------------
Hadith sahih riwayat Bukhari Muslim yang menjadi skrip teater beserta sedikit olahan ada disebut dalam Kitab Imam Nawawi, Riyadhus Salihin bab Taubat.Pertama kali ummu menghayati makna hadith ini adalah sewaktu duduk berehat di kerusi menunggu pesakit yang datang ke unit kecemasan HUSM.Waktu itu masih 'student' .Hadithnya panjang, kerana itu ia sesuai dijadikan skrip teater kerana ia lengkap dengan ciri-ciri yang perlu ada pada sebuah cerita.Ada permulaan, ada klimaks dan ada pengakhirannya.Subhanallah, sungguh cantik.
Secantik ibrah yang tersirat pada hadith tersebut.
Sinopsisnya menceritakan kisah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang bernama Ka'ab bin Malik yang tidak turut keluar berjihad bersama rombongan tentera muslimin ke perang Tabuk tanpa sebarang keuzuran.Apabila rombongan berperang telah pulang, beliau bertemu Rasulullah dan mengakui kesalahan dengan bercakap benar, sedangkan ketika itu majoriti yang tidak turut serta berjihad berbohong dengan mengemukakan pelbagai alasan kepada nabi.Natijahnya beliau telah dipulaukan oleh kaumnya bahkan Rasulullah sendiri selama hampir 50 hari (setelah wahyu diturunkan untuk arahan pemulauan ).Dalam tempoh tersebut pelbagai ujian menduganya, menusuk-nusuk sehingga menyebabkan jiwa beliau penuh derita.Munajatnya tidak henti-henti, menangis memohon simpati rahmah dan belas Tuhan untuk melepaskan diri dari belenggu yang menghimpitnya itu..menunggu wahyu seterusnya dari Tuhan.Akhirnya berkat taubatnya dan kesanggupan beliau berkata benar, Allah telah menurunkan wahyu berupa berita gembira iaitu pengampunan atas dosanya yang tidak turut serta berjihad tanpa keuzuran.Serentak dengan berita itu, seluruh kaum muslimin terutama Rasulullah meraikan wahyu tersebut dengan penuh senyum kesyukuran.
Itulah peribadi mulia sahabat Nabi, Ka'ab.Lantas, bagaimana pula kita ?
Sejauh mana telah kita menyahut seruan berjihad kini ?
Masing-masing kita bermuhasabah.
--------------------------------------------------------------------------------------------