Indahnya Islam, Indahnya hidup beragama.
Penerbangan pesawat Malaysia Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Langkawi selamat mendarat jam 4 petang.Seramai 25 ahli keluarga ummu terdiri dari abah dan ibu abang dan kakak bersama si anak kecil masing-masing melangkah keluar dari perut pesawat membawa bersama segunung harapan, harapan agar ‘Family Day 2010 ‘ ini memberi pengertian bermakna.Bait-bait doa sentiasa menutur di bibir dan hati moga-moga niat yang ikhlas mengundang redha Allah.
Masing-masing punya ujian dan cabaran sebelum mampu untuk kami berkumpul seramai ini.kalau bukan masalah kerja dan cuti, hambatan kewangan serba sedikit menggugat rancangan tahunan kami ini.Allah itu beserta orang-orang beriman dan sabar.Dia pasti memberi jalan keluar kepada siapa yang berharap kepadaNya.Akhirnya disatukan jua hati-hati kami sekeluarga di bawah rimbunan penuh kasih sayang di bumi bersejarah, Pulau Langkawi.
Kami menyewa dua buah Van Pregio untuk membawa kami menuju ke kediaman Kondo Istana.Perjalanan tidak lama, hanya memakan masa dalam 15 minit sahaja untuk sampai.Ummu sungguh teruja, hiba dan sayu melihat kesungguhan dan pengorbanan abah.Dalam keuzurannya berusia lebih separuh abad namun demi anak-anak digagahkan tulang empat kerat untuk memenuhi impian kami.Walau berkerusi roda, raut wajahnya yang tenang bersulam senyuman bagai menghilangkan kepedihan kesakitan urat yang dideritainya.Bertemankan ibu yang setia di sisinya, manambahkan kekuatan rohaninya untuk berkorban kerana Allah jua.
Empat buah bilik kondo sudah cukup memuatkan kami adik beradik.Satu bilik sahaja, sudah ada dalamnya 1 master bedroom dan dua buah bilik kecil yang lain.Siap lengkap dengan ruang tamu, dapur dan bilik air.Oleh kerana design kondo tersebut berbeza, maka kami memilih ruang legar terluas untuk dijadikan lokasi utama bagi semua aktiviti yang dijalankan bersama.
Solat berjemaah antara rutin kami.Seusai solat setiap abang ummu beserta abang ipar telah ditaklifkan awal-awal lagi untuk menyediakan tazkirah seterusnya berkongsi dengan jamaah solat yang lain.Terbukti, tugas da’wah tidak hanya terpikul atas bahu para ustaz sahaja, bahkan semua individu punya peranan masing-masing.Andai kita seorang doctor, engineer atau lecturer itu bukan alasan untuk melepaskan diri dari tanggungjawab ini.Ketahuilah ia bukan soal mampu atau tidak mampu, ia soal ubudiyyah, bahkan soal akar kenapa kita dihantar ke dunia.Syabas abang kandung dan iparku, walau kalian bukan berlatarbelakangkan pendidikan aliran agama secara rasmi, kalian mampu untuk turut sama memegang panji Islam.
To be continued…..