Bismillahi Allahu Akbar !!!
Saat semerta itu juga perginya makhluk Allah yang bahagia bertemu Khaliqnya yang dirinduinya.Darah merah yang memancut beserta dengusan suara yang nazak menjadi saksi besarnya sebuah pengorbanan.Semerta itu juga manik halus bergenang di kelopak mata ummu saat menyaksikan urat marikhnya dipotong dengan pisau yang sudah dipastikan ia benar-benar tajam.Kedua-dua tangan dan kakinya menggelepar buat seketika, dan akhirnya ia diam kaku, tidak lagi bergerak.
Bahagialah menantimu, wahai makhluk Allah yang mulia.Janji Allah itu benar.Tunduk ummu memandang tanah.Rasa insaf menyelinap diri.Sedangkan si lembu itu mampu berkorban nyawanya untuk Tuhan, bagaimana pula dengan diriku? seruan berjihad dengan harta pun masih lemah, apatah pula mahu berjihad nyawa untuk agama? Allahu akbar...
Rumput hijau kini bertukar merah, penuh dengan darah.Hari itu sahaja, ummu sempat menyaksikan 3 ekor lembu disiapkan untuk korban.Salah seekor darinya, agak liar.Hampir sahaja tali yang memegangnya terlucut dan sempat juga ia lari beberapa jarak.Habis orang di sekelilingnya lari bertempiaran.Sukar juga rupanya menumbangkan seekor lembu.Malam sebelumnya sempat juga ummu membelek kitab himpunan hadith sahih bab ibadah korban.Memang siap diceritakan dalam hadith bagaimana caranya untuk menyembelih korban,dan alhamdulillah ummu dapat perhatikan praktikalnya keesokan hari.Benar Islam itu suatu manhaj hidup yang syumul.
Mari kita berdoa mudah-mudahan ibadah korban kita diterima dan dosa-dosa kita diampunkan.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
No comments:
Post a Comment