May 28, 09 2:18pm
Setiap pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 subjek maksimum mulai tahun depan.Serentak dengan itu, beberapa perubahan akan dilakukan terhadap sistem pengredan SPM, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kata Ummu : Ke mana perginya dasar pendidikan negara yang mahukan rakyat berlumba-lumba dalam menguasai ilmu ? apakah pemimpin tidak gembira melihat rakyat yang berkesedaran tinggi, rakus dalam mencari ilmu yang nantinya jua akan menjadi aset kepada negara masa hadapan?
"Ia akan mempunyai banyak implikasi positif, satu yang pasti adalah para guru akan berupaya memberi lebih tumpuan terhadap bilangan mata pelajaran utama dan guru juga akan lebih khusus," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan, Bandar Enstek di Nilai hari ini, lapor Bernama.
Kata Ummu : setiap guru pastinya memainkan peranan mereka masing-masing, soal berapa subjek, itu atas kemampuan pelajar itu sendiri.Ummu tidak melihat pertembungan besar di sini.
Muhyidin, yang juga menteri pelajaran berkata, daripada setengah juta pelajar yang mengambil SPM sebelum ini, kira-kira 48,000 pelajar mengambil lebih daripada 10 subjek. Ini juga akan mengatasi masalah pada sesetengah subjek yang kekurangan guru, malahan ibu bapa dapat menjimatkan wang daripada terpaksa membayar lebihan subjek perlu diambil apabila menghantar anak mereka ke kelas tuisyen, katanya.
Kata ummu : Alhamdulillah...sepatutnya kita berbangga dengan angka 48,000 itu.Kelas tuisyen nombor dua.Sudah dibuktikan dengan kecemerlangan adik kita, Nik Madihah yang miskin.Setahu ummu,ramai guru di luar sana yang masih menganggur..!
Muhyiddin berkata kementerian amat serius untuk merapatkan jurang di antara pelajar bandar dan luar bandar walapun perbezaan jurang ini tidak sejauh mana."Sebenarnya jurang ini tidak terlalu jauh tetapi masih ada perbezaan yang agak ketara dari sudut lain dan ini dilihat dari segi keputusan peperiksaan," katanya.
Kata Ummu : Adakah bijak menyekat percambahan ilmu dengan alasan ingin merapatkan jurang? tidak logik akal...akarnya adalah pada ketidakseimbangan sosioekonomi,maka apa gunanya betulkan dahan jika pohonnya sudah goyang?
Pembaharuan yang dilaksanakan pada Rancangan Malaysia Ke-10 membabitkan pembangunan prasarana, tenaga guru dan cara pembelajaran murid, katanya."Lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar ini terdapat ramai orang bumiputera Melayu, bumiputera yang agak miskin, kurang berkemampuan. "Kita mahu pembangunan sekolah-sekolah di luar bandar sama tahapnya baik dari segi infrastruktur, cara pembelajaran sebagaimana yang terdapat di kawasan-kawasan yang sudah maju," kata Muhyiddin.
Kata ummu : ini tiada kaitan dengan memaksimumkan 10 subjek...sememangnya yang tu hak rakyat
Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan guru-guru yang berkelayakan untuk mengajar bahasa Inggeris, Sains dan Matematik di pedalaman merupakan cabaran utama bagi kementeriannya melaksanakan pembaharuan itu.Walaupun kementerian ada menawarkan elaun sebanyak RM1,500 sebagai insentif sejak dari tahun lalu untuk mereka datang ke kawasan pedalaman misalnya di Sabah dan Sarawak, tetapi masih banyak cabaran lain perlu ditangani.Beliau sedang memikirkan cara untuk menyenangkan kehidupan guru-guru yang dihantar ke kawasan pedalaman ini kerana walaupun mendapat elaun, kementerian sedar masalah lain seperti perumahan menjadi asas utama perlu diatasi.
Kata Ummu : Ummu dah kata, hapuskan PPSMI !
Bicara akhir Ummu : kalaulah berterusan begini, alamatnya Malaysia akan ditinggalkan jauh di belakang.
" Tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad "