Wednesday, November 21, 2007

Qissoh qosir

Oleh: Ustaz Halim Abdullah
www.inijalanku. wordpress. com

Di akhir zaman, Allah tidak mengangkat Al-Quran dengan menghilangkan tulisan dan kitab, tetapi Dia mengangkatnya dengan mematikan para Huffaz (orang-orang Hafiz AL-Quran) dan para Ulamak. Perginya Syeikh Hasan Elyan bagaikan baru semalam tetapi hakikatnya dia telah pergi mendapatkan Kekasihnya lebih 10 tahun yang lalu. Di pentas antarabangsa, beliau kurang dikenali, tetapi di alam tajmik, tarbiyah dan riyadah (bukan riadhah), beliau menjadi buah mulut kawan dan lawan, di dalam Mesir dan teman-teman luar Mesir yang mengenali kehebatan dan sumbangannya.


Allah sahaja yang tahu betapa sukarnya aku hendak memulakan penulisanku di pagi Rabu ini tentang detik-detik manis aku menziarahi beliau, kerana di saat ini aku menulis dengan lebih banyak air mata yang mengalir di pipi dari tulisan yang di taip di komputer.
Biar berdekad berlalu, nasihat-nasihatnya tetap segar diingatan, diukir dengan tinta emas di hati, menjadi bekalanku di Jalan Dakwah ini.


Satu hari, seorang teman Arab mengajak aku menziarahi Syeikh Hasan. Walaupun tempat sandar kereta Fiat lamanya senget ke belakang, namun kegembiraan dapat menziarahi seorang ulamak yang besar sumbangan perjuangannya kepada Dakwah benar-benar menyebabkan aku berasa tempat duduknya lebih enak dari sebarang kereta mewah di Malaysia yang pernah aku naiki. Sudah lama aku mendengar tentang Syeikh Hasan, kali ini peluang untuk melepas rindu. Kereta kami meluncur laju ke negeri Qalyubiah, di utara Kaherah.


“Cuma satu peringatan!”, kata teman. “Apa dia?”, tanya saya. “Kita hanya boleh jumpa tidak lebih dari 5 minit, kerana dia sakit jantung. Hal ini semua orang dah maklum”. Aku pernah dengar orang lain berkata peringatan yang sama, jadi aku menjawab, “Baiklah, saya pun pernah dengar peringatan seperti itu”. Walaupun kami tiba awal-awal pagi, namum aku dapati telah ramai orang sedang duduk menunggu di anjung rumahnya. Setiap pagi ada sahaja kunjungan manusia yang ingin bertanya soalan, khabar atau sekurang-kurangnya bertemu dan mendapat sepatah dua nasihat bimbingan seorang ulamak theqah seperti Syeikh Hasan, satu fenomena yang jarang kedapatan di Malaysia pada hari ini. Aku dan teman duduk menunggu giliran sambil mata menikmati pemandangan kebun tanaman di sebuah kampung di Mesir.


Giliran kami tiba, bila semua tetamu sudah beredar. Syeikh Hasan mungkin umurnya menghampiri 70an. Tangannya terketar-ketar kesan penyakit yang dialaminya, namun percakapannya lancar dan perkataannya jelas dan memberi kesan yang mendalam. Masa dah menghampiri 5 minit tapi aku masih belum puas mendengar kalimat-kalimatnya yang seperti aku sedang menadah guni menyambut mutiara-mutiara yang keluar dari mulutnya. Dia masuk sebentar ke dalam dan keluar membawa sarapan pagi. Aku memang suka sarapan pagi cara Arab, esh baladi (roti kampung), gibnah baladi (keju kampung dari susu kerbau), salatah (sayur mentah campur), tahinah dan lain-lain.


Kami khuatir sekiranya kami menyusahkan beliau di pagi itu. Dengan mengangkat sarapan dan sebagainya, tentulah akan memudharatkan kesihatannya. Tapi dalam masa yang sama hati kecil aku pula nampak, jika bersarapan bersama, tentulah masa pertemuan boleh memakan masa hingga lebih setengah jam, bukan sekadar 5 minit yang sudah pun berlalu.
Beliau terus memberi nasihat dan pengalaman diantaranya bersama kisah-kisah beliau bersama Imam Hasan Al-Banna sendiri. Ketika itu beliau masih di bangku sekolah menengah. Kesempatan pendik blog ini saya bawa nasihat beliau tentang tarbiyah anak-anak. Beliau menyebut terdapat para Duat yang berjuang di Jalan Dakwah tetapi anak-anak mereka berselerakan terbiar tanpa terlibat dalam jalan yang ayah ibu mereka perjuangkan. Ketika itu, ia suatu berita yang pelik bagi aku, bagaimana si ayah dan ibu berjuang dan berkorban ke satu arah tertentu sedang si anak berjuang ke arah yang berbeza dalam hidup. Namun, setelah kembali ke Malaysia, apa yang beliau cerita yang berlaku di Mesir, lebih parah berlaku pada ramai mereka yang aku kenali maupun yang aku dengar di Malaysia yang serba Boleh ini.


“Anak-anak kita mesti dididik dengan Tarbiyah Islam yang tersusun, bersungguh, berterusan, ….barulah nanti mereka menghayati dan berjuang di dalam Jalan Dakwah ini. Baru lah mereka menyertai bersama kita sebagai ayah-ayah mereka”, ujar beliau. Kami mengangguk-angguk.

Mudahnya logik ini, takkan para Duat tak faham-faham, fikirku. Takkan si ayah rela anaknya berjuang arah lain. Aku sendiri tak rela. Takkan mudah sebegitu sahaja ikut Jalan Dakwah, tentulah mesti melalui proses Tarbiyah Islam yang tersusun, bersungguh, berterusan dsb.
Setelah itu Syeikh Hasan menyambung lagi, “dan mereka (anak-anak) tidak mungkin sertai Jalan Dakwah ini sekadar si ayah mengajak dengan berkata “Hoi anak tak guna! Masuklah dalam Dakwah ni!”. Betul juga, fikir ku. Macamana si anak nak masuk Jalan Dakwah, hanya dengan ajak macam tu, tanpa tarbiyah, pengawasan, perancangan dan penglibatan aktiviti yang berterusan. Dalam masa yang sama, hati aku tercuit geli hati kalau ada ayah yang buat macam tu. Nak ambil jalan mudah dan shortcut tanpa usaha yang sepatutnya, hasilnya tidak terjamin.

Geli hati tak tertahan lalu aku mula ketawa, temanku juga ketawa lalu Syeikh Hasan juga ketawa. Memang orang Mesir suka berjenaka, berbanding Arab negara-negara lain. Hairannya ketawa kami berpanjangan, tak tertahan. Hai …camana boleh berhasil ajakan ayah seperti itu.
Pulang ke Kaherah, aku bertemu dengan seorang lagi rakan dan bercerita pengalaman bertemu Syeikh Hasan Elyan. Dia bertanya, “Pertemuan 5 minit ke?”. Aku menjawab gembira, “Lebih setengah jam, bahkan kami bersama-sama ketawa sahaja memakan masa lebih 5 minit!”.


Selang beberapa tahun selepas ziarah yang bersejarah itu, Syeikh Hasan meninggal dunia. Berita kematian hanya aku ketahui beberapa hari selepas itu. Aku menegur seorang lagi teman Arab kerana tidak memaklumkan kepada aku pada hari kematian Syeikh Hasan. Dia menjawab, “Aku tahu, engkau seorang yang harus dimaklumi tentang kematiannya, dan aku tahu engkau pasti akan ke negeri Qalyubiah untuk menziarahi jenazahnya walaupun jaraknya jauh dan engkau sanggup menangguh kerja-kerja yang lain, tapi aku juga tahu engkau mempunyai tugas yang banyak di Kaherah. Oleh itu sengaja aku tidak memberitahumu” . Ketika di Mekah tahun 1996, aku memaklumkan berita kematian Syeikh Hasan Elyan kepada teman rapatnya, Syeikh Abdul Sattar, seorang ulamak hadis di Saudi Arabia (kini juga telah meninggal dunia). Berita kematiannya disambut oleh beliau dengan kesedihan dan doa.


Semoga Allah merahmati para ulamak di Jalan Dakwah ini, meluaskan kubur mereka, mengampunkan kesalahan-kesalahan meraka, menerima amal Dakwah dan Jihad mereka dan ditempatkan bersama Ramsulullah saw di Syurga Firdaus yang tertinggi. Nasihat-nasihat beliau temasuk mengenai Tarbiyah Anak-anak di Jalan Dakwah ini akan terus aku dan isteri patuhi dan usahakan walau banyak mana masa dan harta yang mesti kami ikorbankan.

“Ya Allah, kurniakan kepada kami isteri-isteri dan zuriat kami sebagai penyejuk mata. Dan jadikan kami pemimpin bagi orang-orang bertaqwa” (Al-Furqan:74)

No comments: